Anda di sini
Laman Utama > Berita > Piala Belia 2016 – Pahang Kenduri Gol

Piala Belia 2016 – Pahang Kenduri Gol

Foto : FB Piala Belia – B19 Pahang

Pahang meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Kumpulan A Piala Belia FAM, apabila mudah menjinakkan Perlis 9-0 di Padang Majlis Daerah Pekan (MDP) pada petang Ahad. Nur Izat Che Awang cemerlang meledak hat-trick selain membantu jaringan pemain gantian Zainal Abidin. Perlawanan berlangsung dalam cuaca panas terik dan kering, namun tidak menghalang pemain tuan rumah selesa memanfaatkan segenap padang. Pahang menguasai hampir 80% permainan pada separuh masa pertama dengan melakukan serangan bertubi-tubi.

IMG-20160403-WA0018Nur Izat Che Awang meledak 2 gol dalam tempoh 10 minit (minit 15 dan 21) hasil keadaan kelam kabut selepas sepakan penjuru. Pada penghujung separuh masa pertama, Pahang dianugerahkan sepakan penalti selepas Zulhisyam Zulkifli dijatuhkan pertahanan Perlis, lalu disempurnakan oleh kapten Nor Amirul, sebelum Fakhrul Hakimi meledak gol ke-4 pada masa kecederaan, membolehkan Pahang selesa mendahului 4-0 menuju ke bilik persalinan.

Bermula separuh masa kedua, Pahang tidak menunggu lama, apabila menambah gol ke-5 melalui Haikal Hasbul yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti. Zulhisyam Zulkifli mencatat nama sebagai penjaring gol ke-6 apabila memanfaatkan peluang terhidang di hadapan gol melalui lontaran ke dalam pada minit ke-65. Kemasukan Zainal Abidin yang menggantikan Haikal Hasbul jelas memberikan impak, apabila beliau meledak jaringan ke-7 Pahang melalui tandukan hasil lambungan Nur Izat. Jentera serangan Perlis terus gagal menembusi pertahanan kental Pahang, sebaliknya Pahang terus berpesta gol dengan meledak gol ke-8 melalui rembatan Arisazri Juhari 2 minit sebelum masa sebenar berakhir. Nur Izat melengkapkan hat-trick pada masa kecederaan, membolehkan Pahang selesa mengganyang Perlis 9-0. Pahang kini menduduki tangga kedua di dalam Kumpulan A Piala Belia, 3 mata di belakang Kedah. Ternyata kemenangan besar ini boleh dijadikan tonik terbaik bagi menghadapai Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 di Padang Akademi Mokhtar Dahari, Gambang pada 10 April 2016.

Keputusan Penuh :
Pahang 9-0 Perlis
Penjaring : Nur Izat Che Awang (3 Gol), Nor Amirul (P), Fakhrul Hakimi, Haikal Hasbul, Zulhisyam Zulkifli, Zainal Abidin, Arisazri Juhari
Kesebelasan : Fakhri Syahmi (GK), Fakhrul Hakimi, Amirul Asyraf, Zulhisyam Zulkifli, Nur Izat Che Awang, Haikal Hasbul (Zainal Abidin), Nor Amirul Nizam (Kapten), Noor Fahmizie (Azul Anis), Fakhrul Kadarisman, Hairul Ikmal (Danial Syakri), Arisazri Juhari

Perlawanan Seterusnya
10 April 2016 | SSMP B-17 vs Pahang
Padang Akademi Mokhtar Dahari, Gambang

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

Leave a Reply

Top