Anda di sini
Laman Utama > 100plus Liga Premier > Mampukah Kuantan FA melakar sejarah?

Mampukah Kuantan FA melakar sejarah?

Minggu lalu, penulis menggambarkan mengenai peluang Pahang dalam usaha untuk melayakkan diri ke pentas Piala Malaysia edisi ke 90 yang bakal bermula Julai nanti. Minggu ini pula, penulis akan membawakan satu lagi analisis mengenai peluang pasukan Kuantan FA yang dilihat berada dalam kedudukan terbaik untuk melakar sejarah beraksi di pentas Piala Malaysia yang sarat dengan legasi dan tradisi ini.

Berada pada kedudukan ke-enam Liga Perdana selepas 5 perlawanan, dan hanya dibezakan dengan 3 mata dengan pasukan Kuala Lumpur yang kini menghuni persada liga, Kuantan FA dilihat berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menjadi antara 5 pasukan terbaik layak ke Piala Malaysia. Pasukan The Seagulls ini berjaya mengumpul 8 mata dengan mencatatkan 2 kemenangan, 2 seri dan 1 kekalahan, sekaligus memperbaiki pencapaian musim lalu selepas 5 perlawanan. Untuk rekod, hanya 1 mata sahaja berjaya dikutip selepas mengharungi 5 perlawanan Liga Perdana musim 2015 lalu.

6 perlawanan lagi:

4 April ini bakal menjadi penanda aras kepada peluang Kuantan FA untuk memperbaiki kedudukan liga seterusnya mencerahkan lagi laluan menjadi 5 pasukan teratas selepas 11 perlawanan liga. Namun begitu, perlawanan ke-enam ini bukanlah satu perlawanan yang terlalu mudah apabila mereka bakal berhadapan dengan pasukan Kuala Lumpur yang nyata berada dalam kelas yang tersendiri apabila masih kekal bersama Melaka dan Negeri Sembilan mempertahankan rekod tanpa kalah setakat ini. Moral anak buah kendalian Ismail Zakaria ini kekal positif apatah lagi pasukan ini masih kekal meneruskan saingan dalam kejuaraan Piala FA. Penampilan beberapa pemain muda seperti Zhafri Yahya serta adunan beberapa pemain senior seperti Azlan Zainal, Fahrul Razi dan Helmi Remeli dalam pasukan jelas membantu kepada peningkatan pasukan ini.

Perlawanan ke-tujuh pula menyaksikan Kuantan FA sekali lagi bakal berhadapan ujian yang getir apabila bertemu pasukan Melaka United yang turut berpeluang mencuri slot ke Piala Malaysia. Pertemuan ini bakal menjanjikan aksi yang sukar buat skuad kendalian Zulhamizan Zakaria ini apabila bakal turun berhadapan ribuan penyokong setia skuad Hang Tuah di mana turut menyaksikan Stadium Hang Jebat telah merekodkan jumlah kehadiran tertinggi bagi aksi liga setakat ini. Kehadiran perancang di bahagian tengah, Labinot Harbuzi yang baru pulih dari kecederaan panjang serta kepakaran yang ada pada Balsa Bozovic dalam sepakan percuma bakal menjadi duri dalam daging buat Kuantan FA yang mampu menyukarkan peluang untuk melakar kemenangan. Namun, keputusan seri sudah memadai untuk terus menekan kelompok atas Liga Perdana ini.

Perlawanan seterusnya iaitu ke-lapan dan ke-sembilan perlu dimanfaatkan dengan mencipta 6 mata dari 2 perlawanan ini apabila Kuantan FA perlu menang ke atas ATM dan Sime Darby untuk terus melebarkan penguasan ke atas kelompok pertengahan liga. Namun, Sime Darby bukanlah calang-calang pasukan dan pernah dilabelkan sebagai “A Giant Killers” dan mampu untuk “mengacau” perancangan Kuantan FA untuk mencipta kemenangan. Pertaruhan beberapa pemain muda dan beberapa pemain import yang berkualiti, skuad kendalian Ghani Malik ini bersedia mencipta kejutan kedua di Stadium Darul Makmur selepas menundukkan Pahang tempoh hari.

Perlawanan ke-sepuluh pula menyaksikan sekali lagi Kuantan FA bakal berhadapan tugas berat di Stadium Hang Jebat apabila dijadualkan bertemu PKNS yang ketika ini menghuni kedudukan ke-empat liga. Benteng pertahanan Kuantan FA bakal teruji dengan asakan bertali arus yang dikemudi oleh Gabby Guerra yang turut merupakan antara penjaring terbanyak pasukan ini (6 goals in all competitions). Jentera serangan yang dicetuskan oleh gandingan penyerang import, Juan Manuel Cobelli dan Matias Nicholas dilihat sangat berkesan dan merupakan penyumbang utama jaringan buat pasukan setakat ini (all competitions).

Pasukan yang masih segar dengan kemenangan selesa ke atas Sime Darby pada aksi suku akhir Piala FA tempoh hari dilihat dalam “mood” yang positif untuk meneruskan saingan diperingkat liga. Perlawanan terakhir turut mencuri tumpuan apabila mereka bakal berhadapan JDT II di Kuantan. Kebangkitan skuad JDT II sejak kebelakangan ini dilihat satu ancaman kepada Kuantan FA ditambah dengan hanya 2 mata yang memisahkan kedudukan 2 pasukan ketika ini.

FB_IMG_1459348504094
Srdjan Vidakovic pada aksi persahabatan bertemu Kelantan tempoh hari.

Kesimpulannya, baki 6 perlawanan ini perlu ditempuh dengan memperagakan komitmen dan tumpuan 100%. Kehadiran semula Srdjan Vidakovic adalah tepat pada waktunya dan keputusan 3 perlawanan persahabatan sebelum ini perlu dijadikan panduan untuk tampil dengan skuad yang terkuat dalam menghadapi perlawanan demi perlawanan ini.

Selamat berjuang buat skuad The Seagulls! Ayuh kita cipta sejarah!

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top