Anda di sini
Laman Utama > Berita > Aksi tidak konsisten peningkan Razip

Aksi tidak konsisten peningkan Razip

Foto : FB Pahang FC

Aksi yang tidak menentu barisan pemainnya bakal menjadi ujian terbesar Ketua Jurulatih Pahang FC yang baru, Razip Ismail setelah dilantik untuk mengambil alih jawatan panas itu dari Ahmad Shaharuddin Rosdi lapor Mezzo Fauzi

Ini dapat dilihat setelah dua aksi berbeza yang dipamerkan oleh pemainnya setelah selesai dua perlawanan persahabatan menentang UiTM dan DRB-Hicom FC semasa liga berhenti berehat untuk memberi laluan kepada perlawanan skuad kebangsaan.

Beliau yang ditemui selepas perlawanan menentang DRB-Hicom juga kecewa dengan aksi pemain-pemain importnya yang gagal memberi persembahan yang diharapkannya.

“Pada malam ini saya lihat separuh masa pertama berbanding semasa menentang UiTM amat berbeza sekali kerana mereka bermula dengan begitu teruk sekali.

Saya amat kecewa dengan dua pemain import saya di hadapan yang tidak menyumbang banyak kepada pasukan pada perlawanan pada malam ini, mereka tidak membantu langsung.

Memang saya akui kelemahan kita pada semua bahagian, tetapi persembahan yang berbeza menyukarkan saya membuat penilaian.

Mereka tidak bermain seperti yang saya mahu dan hanya pada separuh masa kedua barulah ada peningkatan dari segi permainan.

Pada saya kita kena lebih konsisten dengan bermain cara permainan yang sama seperti menentang UiTM.”

Selain itu, kekurangan pengalaman dalam perlawanan di peringkat tertinggi juga menjadi punca pasukannya tidak dapat memberi aksi terbaik kerana banyak dianggotai oleh pemain muda yang rata-rata baru merasai pengalaman di Liga Super.

“Sememangnya kita perlukan kemenangan tetapi perubahan drastik itu agak sukar kerana kita tengok prestasi mereka agak turun naik.

Pemain-pemain juga mempunyai kurang kualiti dan mereka perlu lebih banyak perlawanan-perlawanan berkualiti tinggi barulah mereka boleh menyesuaikan diri dalam Liga Super.

Diwaktu yang singkat ini, saya perlu menyeru kepada mereka supaya mempertingkatkan permainan dan keupayaan mereka bukan dengan memberi aksi seperti malam ini.

Kita kena konsisten dengan apa yang kita main pada mula dan itu (cara) yang perlu kita mainkan.

Dalam dua perlawanan persahabatan yang diaturkan ketika liga berhenti seketika, Pahang FC memperolehi kemenangan 1-0 semasa menentang UiTM FC di Stadium Darulmakmur manakala dalam aksi malam Selasa mereka tewas kepada pasukan DRB-Hicom FC dengan keputusan 1-2.

Pahang FC akan menyambung kembali aksi Liga Super menentang PDRM di tempat sendiri dan perlawanan itu bakal menjadi medan terbaik buat pemain untuk mendapatkan tonik semangat selain mengeluarkan mereka dari kelompok tercorot liga.

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top