Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Berbaki 6 perlawanan….

Berbaki 6 perlawanan….

5 perlawanan yang dilalui sebaik tirai Liga Super mula dibuka Februari lalu jelas menghadirkan keresahan dalam kalangan penyokong setia Tok Gajah apabila skuad Pahang hanya mampu mencatat 1 mata seterusnya menyukarkan laluan pasukan untuk layak beraksi di pentas Piala Malaysia Julai nanti.

Artikel terdahulu menceritakan senario pasukan Pahang yang perlu mendaki pada kedudukan ke 11 liga diakhir pusingan pertama Liga Super untuk melayakkan pasukan beraksi di saingan Piala Malaysia edisi ke 90 nanti.

http://www.tokgajah.com/2016/03/02/analisis-piala-malaysia-9-mata-dan-kedudukan-ke-11-liga-super/

Dalam artikel tersebut, penulis menyatakan beberapa sebab yang memerlukan Pahang untuk terus beraksi dalam kejuaraan Piala Malaysia dan antara sebab yang utama adalah, Pahang perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 6 perlawanan di saingan Piala Malaysia sebagai tiket pendedahan kepada barisan pemain muda untuk musim-musim akan datang.

Sekiranya gagal, Pahang terpaksa berpuas hati dengan hanya merekodkan 24 (22 liga dan 2 Piala FA) perlawanan kompetitif yang mana dikira satu pencapaian yang ternyata merundum berbanding 3 tahun kebelakangan ini (39,40 dan 46 perlawanan kompetitif). Persoalannya, mampukah dengan hanya 24 perlawanan kompetitif musim ini dapat memberi pendedahan perlawanan secara kompetitif kepada barisan pemain muda untuk musim hadapan?

Berbaki 6 perlawanan:

Meskipun sukar, namun perjuangan berbaki 6 perlawanan (3 home dan 3 away) harus diteruskan untuk meneruskan kelangsungan misi dan impian untuk terus bersaing dalam kejuaraan domestik berbekalkan skuad yang sedia ada. 4 perlawanan sepanjang April perlu dimanfaatkan walaupun perlawanan minggu ke-6 dan ke-7 serta perlawanan minggu ke-8 dan ke-9 adalah singkat tempoh rehatnya.

Bagi mencerahkan laluan ke Piala Malaysia, Pahang perlu merekodkan kemenangan dengan pasukan Perak dan Sarawak kerana kedua-dua pasukan ini berada dalam kelompok 4 pasukan terbawah liga dan kemenangan dengan 2 pasukan ini mampu membuatkan 2 pasukan tadi keciciran mata seterusnya membuka peluang buat Pahang untuk mendaki pada kedudukan yang lebih baik.

Namun begitu, 2 perlawanan menentang Perak dan Sarawak dijangka sukar apabila kedua-dua perlawanan ini bakal berlangsung di gelanggang lawan dan ditambah dengan prestasi pasukan Perak yang agak konsisten sejak kebelakangan ini. 4 lagi perlawanan pula menyaksikan Pahang akan bertemu dengan pasukan yang berstatus elit iaitu PDRM, Kelantan, Kedah (home) dan JDT (away).

Jika dilihat di atas kertas, ia ternyata sukar untuk mencuri mata dalam 4 perlawanan ini, namun para pemain dituntut untuk terus memberikan persembahan yang terbaik dan yakin akan kemampuan barisan pemain-pemain. Mampukah kemasukan Razip Ismail dalam kem kejurulatihan dan penampilan semula Fauzi Roslan membantu dalam mengubah landskap prestasi pasukan Pahang nanti?

Buat para penyokong, teruskan memberi sokongan dikala pasukan yang kini sedang berada dalam fasa krisis prestasi dan diharap sokongan anda bakal mengeluarkan pasukan dari kemelut ini seterusnya mengembalikan aura Tok Gajah yang seakan pudar dari hari ke hari. Semoga tragedi tahun 2011 tidak berulang lagi.

Hogoh Pahang Hogoh!

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top