Anda di sini
Laman Utama > Artikel > 4 Perlawanan Liga Super : 2016 Paling Buruk?

4 Perlawanan Liga Super : 2016 Paling Buruk?

1 mata. 5 gol. 11 bolos. Terperosok di dasar liga, adakah musim 2016 permulaan paling buruk Pahang dalam sejarah Liga Super? Jawapannya TIDAK, musim paling teruk adalah pada 2011 apabila Pahang tewas semua 4 perlawanan awal Liga Super, sambil hanya mencatat 1 gol dan 6 bolos, di mana pada penghujung musimnya Pahang disingkirkan ke Liga Perdana.

Namun begitu, musim 2016 mencatatkan bolos tertinggi Pahang dalam sejarah Liga Super sejak diperkenalkan pada 2004. Barisan serangan pula memberikan sedikit khabar gembira apabila mampu menjaringkan 5 gol daripada 4 perlawanan.

Pahang 2011Walaubagaimanapun, perbandingan harus dibuat secara adil. Permulaan Liga Super diperkenalkan, boleh dikatakan hanya 3-5 pasukan sahaja konsisten dan kuat dalam memberikan saingan, ditambah pula beberapa pasukan yang sering mengalami kemelut kewangan.

Kini hampir kesemua pasukan berusaha keras untuk konsisten dan beraksi hebat dalam setiap perlawanan, sehingga sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang besar demi menaikkan nama pasukan masing-masing. Sarawak di tangga ke-11 pun, memiliki beberapa bekas pemain kebangsaan dan import yang berkualiti seperti Gurusamy, Gilmar, Junior dan Syahrul Azwari.

Pada musim ini, Pahang FC harus terima hakikat, pemain muda dalam pasukan Tok Gajah masih terlalu mentah bagi mengharungi saingan liga yang terlalu sengit. Ya, mereka mampu muncul sebagai gabungan pemain yang hebat satu hari nanti dan memerlukan satu tempoh panjang melalui perancangan pengurusan yang sepatutnya mempunyai matlamat yang JELAS DAN MASUK AKAL!

Pada ketika ini, beberapa persoalan mula bermain dalam fikiran penyokong dan pendokong bola sepak Pahang, antaranya :

Apakah agenda Pengursan Pahang mengubah pasukan begitu drastik di saat pasukan di kemuncak prestasi?

Jawapan hanya terletak pada mereka tetapi penyokong mahukan penjelasan, apakah KPI yang diletakkan pengurusan dalam skuad musim ini? Apakah yang dimaksudkan timeline 2017? Adakah Pahang bakal muncul juara liga atau memenangi piala pada 2017? Kenapa perlu membawa masuk 80% muka baru menggantikan skuad gemilang 2012-2015? Adakah Pahang tidak mampu dari segi kewangan?

Adakah masih ada harapan untuk layak ke Piala Malaysia 2016?

Masih ada harapan jika Pahang mampu mencuri 8 mata dari 3 perlawanan selepas ini, seperti tertulis dalam artikel terdahulu “[Analisis] Piala Malaysia, 9 mata dan kedudukan ke-11 Liga Super?“, oleh oesandro. Jika berdasarkan prestasi terkini, maaf jika dikatakan, misi ini boleh dikatakan AMAT SUKAR.

Adakah pengakhiran musim 2016 sama seperti 2011, iaitu turun ke Liga Perdana?

Kemungkinan besar boleh berlaku. Ya, kita terpaksa terima hakikat, jika tiada perubahan drastik, musim hadapan kita kembali ke Liga Perdana dan bermula dari ZERO.

Jika ada yang mengatakan terlalu awal membuat andaian, rujuklah kembali musim-musim terdahulu sebagai contoh. Paling mudah boleh dilihat sewaktu muncul juara Liga Super 2004 dengan skuad ‘Galaticos’, kemudian kembali ke ‘zaman gelap’ 4-5 tahun kemudian. Selepas suram beberapa musim, Pahang berusaha keras bangkit dari Liga Perdana 2012 sehingga muncul salah satu kuasa besar bola sepak negara kebelakangan ini, tetapi kini berundur kembali berpuluh langkah kebelakang !

Mengapa perlu kita suramkan kembali cahaya sinaran Darulmakmur selepas ia bergemerlapan selama beberapa tahun? Doa dan harapan kami masih bersama Pahang.

Teruskan menyokong dan percaya kepada kuasa menyokong itu mampu mengubah kesemua di atas kepada perkara yang sebaliknya.

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

Leave a Reply

Top