Anda di sini
Laman Utama > Artikel > [Analisis] Piala Malaysia, 9 mata dan kedudukan ke-11 Liga Super?

[Analisis] Piala Malaysia, 9 mata dan kedudukan ke-11 Liga Super?

Umum mengetahui akan format baharu Piala Malaysia musim ini yang bakal berlangsung di pertengahan perjalanan liga berbanding musim-musim sebelum ini. Format terbaharu ini menuntut 24 pasukan yang bertanding dalam kejuaraan Liga Super dan Liga Premier untuk kekal konsisten sebagai tiket untuk layak beraksi dalam kejuaraan yang paling berprestij sejak dari dahulu lagi.

Format 16 pasukan yang masih dibahagikan kepada 4 buah kumpulan masih dikekalkan, namun pemilihan 16 pasukan terbaik adalah berdasarkan kepada 11 pasukan teratas Liga Super dan 5 pasukan terbaik dari 12 pasukan Liga Premier. Persoalannya di sini, mampukah pasukan Pahang layak untuk beraksi di pentas Piala Malaysia berbekalkan tiket menjadi antara 11 pasukan teratas di Liga Super? Apakah skrip seperti musim 2011 bakal berulang di mana ketika itu Pahang terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di pentas Piala Malaysia selepas tewas pada perlawanan play-off bertemu Sime Darby dengan keputusan agregat yang besar.

Hipotesis 9 mata

Mengikut trends 3 tahun kebelakangan ini, jumlah mata yang dikutip selepas 11 perlawanan (pusingan pertama Liga Super) adalah 9 mata. Tahun 2013, T-Team menjadi pasukan di kedudukan ke 11 dengan mengumpul 9 mata. Sementara itu, Pahang pula berada di tangga kelima liga selepas membuat penampilan semula di Liga Super. Tahun 2014 pula menyaksikan pasukan ATM berada di tangga ke 11 yang turut mengumpul 9 mata manakala Pahang gah memimpin carta liga selepas 11 perlawanan.

Begitu juga yang berlaku pada musim lepas seterusnya menguatkan’ teori 9 mata’ ini apabila skrip yang sama turut berulang apabila ATM sekali lagi berada di kedudukan ke 11 dengan 9 mata sambil Pahang terus konsisten di persada liga dengan mengumpul 23 mata. Jika trends ini di ambil kira sebagai asas kepada perkiraan, skuad Tok Gajah perlu mengumpul sekurang-kurangnya 9 mata untuk terus menempatkan diri dalam kejuaraan Piala Malaysia edisi ke 90 ini.

Perbandingan 4 perlawanan

Mungkin perbandingan melibatkan musim ini dan musim lalu tidak signifikan tatkala pasukan musim ini dalam proses transisi untuk bergelar skuad yang mantap pada masa akan datang. Namun, jika sekadar untuk membuat perbandingan dari perspektif dua pasukan yang mempunyai kekuatan yang berbeza, angka perbandingan ini mungkin sedikit relevan. Pahang bermula agak perlahan pada musim 2015 dengan sekadar mengumpul 5 mata dari 4 perlawanan dan kemenangan hanya dapat diraih pada perlawanan ke-empat. Manakala musim ini pula, Pahang sekali lagi bermula dengan perlahan dan ditambah elemen kekecewaan apabila sekadar seri dan mengalami 3 kekalahan berturut-turut selepas 4 perlawanan dengan mengumpul hanya satu mata.

1 + 8 mata

Berbaki 7 lagi perlawanan pusingan pertama liga bukanlah satu angka yang boleh menunjukkan perjalanan liga masih panjang. Selepas 4 perlawanan yang turut bersamaan dengan 36% perjalanan liga jelas menunjukkan situasi kritikal yang melanda pasukan ketika ini. Berbekalkan 1 mata ketika ini, Pahang perlu mencuri lagi 8 mata berbekalkan hanya kelebihan 3 perlawanan di gelanggang sendiri (bertemu PDRM, Kelantan dan Kedah). Pahang turut berhadapan satu lagi tugas getir apabila pengakhiran misi (perlawanan ke 11) untuk layak ke Piala Malaysia adalah bertemu JDT di Larkin.

Persoalannya, mampukah Pahang mengutip mata ketika berhadapan pasukan-pasukan ini berbekalkan skuad yang sedia ada? Ini juga di tambah dengan situasi di mana jendela perpindahan pemain hanya akan di buka sekitar bulan Jun di mana kesemua pasukan sudah melengkapkan perlawanan ke 11 mereka. Dan Mampukah beberapa pemain yang belum beraksi ketika ini bertindak sebagai game changer yang boleh merubah keputusan perlawanan?

Pentingnya Piala Malaysia

Piala Malaysia bukan sahaja gah dari segi reputasi dan legasinya semata-mata, malah ia turut bertindak sebagai extra mileage kepada pasukan-pasukan serta para pemainnya dalam mencari pendedahan dari sudut minit beraksi dalam kejuaraan secara kompetitif. Format 16 pasukan dan 4 pasukan dalam satu kumpulan membenarkan sekurang-kurangnya setiap pemain untuk di dedahkan dengan sekurang-kurangnya 540 minit masa permainan. Pengalaman dari pendedahan ini adalah perlu tatkala Pahang kini berada dalam fasa pembentukan semula (dengan 22.9 tahun purata pemain)  yang memerlukan pendedahan minit perlawanan secara kompetitif. Sebagai contoh, pemain muda seperti Matthew Davies, Faisal Halim, D Saarvindran, Salomon Raj, Shah Amirul dan Faizal Mat Rani adalah beberapa pemain yang perlu diterapkan elemen pendedahan perlawanan kompetitif yang akhirnya bakal memberi impak buat individu, pasukan dan mungkin untuk skuad Harimau Malaysia nanti.

Berpandukan kepada jumlah perlawanan kompetitif 3 tahun kebelakang, angka 39, 40 dan 46 perlawanan kompetitif adalah satu pendedahan yang bernilai buat skuad sebelum ini, namun pengalaman ini hanya dapat dirasakan oleh beberapa pemain yang kekal pada musim ini.

Early Detected System

Artikel ini lebih berperanan sebagai medan untuk “mengejutkan” skuad Tok Gajah melalui perspektif statistik dan trends sebelum ini dengan harapan Pahang masih relevan dalam kejuaraan kompetitif di Malaysia. Mungkin terlalu awal untuk memberi gambaran kepada pasukan selepas aksi 22 perlawanan nanti, namun Pahang dituntut untuk bertindak segera agar tragedi musim 2011 tidak berulang kembali. Semoga euphoria Piala Malaysia seperti yang dikecapi musim 2013 di Shah Alam dan 2014 di Bukit Jalil kembali dirasai musim ini.

Harapan dan doa masih bersama Pahang.

oesandro

 

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top