Anda di sini
Laman Utama > Berita > TokGajah terkulai di Pulau Mutiara

TokGajah terkulai di Pulau Mutiara

Foto : FB Pahang FC

Skuad TokGajah terkulai di Stadium Bandaraya apabila dibelasah Pulau Pinang dengan keputusan 4-1 dalam saingan Liga Super 2016 malam tadi.

Tidak turun dengan pertahanan kiri Saifulnizam Miswan yang dilayangkan kad merah semasa perlawanan menentang TTeam, Pahang bermula dengan barisan yang sama dengan Shahrizan disenaraikan sebagai pengganti Saifulnizam.

Pahang FC bagaimanapun tersentak dengan gol awal Pulau Pinang seawal minit ke 3 melalui Faiz Subri yang merembat dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Pahang FC Nasril Nourdin.

Belum sempat Pahang FC mengatur serangan, Harimau Kumbang menggandakan jaringan melalui pemain dari Argentina, Mathias Cordoba juga hasil rembatan dari luar kotak penalti ke penjuru kanan pintu gol Pahang FC dan keputusan kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, Pahang FC cuba merapatkan kedudukan melalui serangan dari pemain tengahnya German Pacheco tetapi gagal menemui jaringan.

Sebaliknya, Faiz Subri menggamatkan Stadium Bandaraya apabila menambah jaringan menjadikan kedudukan 3 gol tanpa balas hasil sepakan percuma melengkung yang terus menerjah jaring apabila Nasril Nourdin hanya melihat terpaku

Pahang FC terpaksa bermain dengan 10 orang setelah Salomon Raj di layangkan kad kuning kedua oleh pengadil Mohd Amirul Izwan kerana mengasari Brent Griffiths pada minit ke 60.

Pemain import dari Nigeria, Osas Marvellous Ikpefua yang masuk menggantikan Faiz Subri menambah derita Pahang FC dengan menanduk masuk bola setelah menerima hantaran lintang dari Fitri Omar dari bahagian kanan padang.

Pahang FC memperolehi gol saguhati pada minit-minit terakhir perlawanan melalui Rizua Syafiqi hasil keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Pulau Pinang.

Keputusan ini menyebabkan Pahang FC jatuh ke tangga kedua tercorot liga di atas Sarawak hasil satu kekalahan dan satu seri.

Keputusan lain :

Perak 0 – 1 Selangor

TTeam 0 – 2 JDT I

Sarawak 0 – 1 Felda Utd

Kedah 1 – 0 Terengganu

Kelantan 1 – 0 PDRM

 

 

 

 

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top