Anda di sini
Laman Utama > Berita > Review ringkas Jelajah Thailand 2016

Review ringkas Jelajah Thailand 2016

 Thai Tour 2016-02

Skuad Tokgajah berkunjung ke negara Thailand dalam siri perlawanan pra musim mereka sebagai persediaaan musim 2016 baru-baru ini.

3 perlawanan diatur iaitu menentang satu pasukan dari Liga Super China dan 2 pasukan dari Liga Perdana Thailand.

Berikut adalah apa yang berlaku dalam setiap perlawanan berlangsung hasil pemerhatian wakil TGC yang turut serta ke sana.

HUANGZHOU GREENTOWN FC (1) vs PAHANG FC (1)

Perlawanan pertama dalam siri jelajah ke Thailand ini berlangsung di Stadium Pattana iaitu 140km dari Kotaraya Bangkok. Greentown FC menduduki tangga ke-10 Liga Super China pada musim lepas.

Melihat kepada senarai kesebelasan utama yang diturunkan, Coach Shah nyata tidak memandang rendah kemampuan pasukan lawan yang dibimbing oleh lagenda Korea Hong Myung Bo apabila kesemua pemain import diturunkan dengan Volas dan Pachecho bergandingan di barisan hadapan.

Masih nampak tiada keserasian lagi antara kedua-dua penyerang ini kerana Volas sering gagal mendapat hantaran yang baik dari Pachecho yang berperanan sebagai ‘backup striker’ dan sepatutnya bertindak sebagai ‘feeder’ kepada Volas.

Salamon, Kogileswaran, Faisal Halim dan Saarvindran pula diberi kepercayaan untuk mengemudi barisan tengah dan secara positifnya mereka kelihatan mempunyai peningkatan dan ada keyakinan untuk merencana serangan.

Penggunaan hantaran pendek banyak digunakan oleh anak-anak muda ini dengan serangan lebih tertumpu pada bahagian sayap namun yang agak mengecewakan ialah hantaran-hantaran lintang mereka kurang menjadi untuk mencari pemain penyerang di hadapan pintu gol.

Sesuatu yang boleh dipuji dalam perlawanan yang pertama adalah barisan pertahanan yang sudah mendapat rentak walaupun Dinesh kelihatan agak sedikit gugup dibahagian kiri.

Zesh yang diberi lilitan kapten dalam perlawanan ini banyak membantu rakan sepasukan yang lain dengan memberi arahan dan sangat ‘vocal’ sepanjang perlawanan berlangsung. 

Beliau lebih banyak bertindak sebagai benteng terakhir dengan Potokar pula bertindak sebagai stopper dan nampaknya mereka sudah memahami gaya permainan masing-masing.

Gol Pahang FC adalah hasil hantaran pendek Pachecho dan D saarvindran manakala gol pihak lawan berpunca dari sepakan percuma yang  terus menerjah gawang.

ARMY UNITED FC (2) vs PAHANG FC (0)

Perlawanan ini dilangsungkan di Pusat Latihan Muangthong United dan dilangsungkan secara 3 babak dengan 2 kali rehat atas permintaan lawan.

Lebih pada perlawanan ‘sparring’, Pahang FC masih menampilkan beberapa pemain yang sudah beraksi dalam perlawanan di Pattana dengan sedikit pertukaran di bahagian sayap.

Volas dan Pachecho masih bergandingan manakala Angah mengambil tempat Mickey yang tidak cergas dan Coach Shah mencuba Dinesh bermain sayap kiri manakala barisan pertahanan tidak banyak berubah.

Seperti perlawanan menentang Greentown, masih tiada hantaran yang baik kepada Volas sehingga Volas sendiri perlu turun ke bawah untuk ‘mengutip’ bola.

Beliau juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, namun gagal memanfaatkan peluang tersebut walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol lawan.

Masih tiada hantaran lintang yang baik ke dalam kotak penalti lawan berikutan taktikal lebih kepada hantaran pendek.

Kemasukan Shah Amirul telah menyebabkan Shafiqi diarahkan bermain di sebelah sayap dan ketika ini barulah nampak sedikit perubahan dengan pasukan Pahang mula menyerang di bahagian sayap.

Pada separuh masa ketiga, dua penyerang muda iaitu Faizal Rani dan Shafie telah dimasukkan dan kedua-duanya menunjukkan taring mereka masih lagi berbisa dan berjaya mengucar kacirkan pertahanan lawan.

Kesemua pemain dapat beraksi pada perlawanan ini kecuali Mickey (kurang cergas) dan penjaga gol ketiga Daniel.

BANGKOK UNITED FC (4) vs PAHANG FC (1)

Bangkok United merupakan ujian sebenar pasukan Pahang dalam siri jelajah kali ini kerana mereka menghuni tangga ke-5 Liga Perdana Thailand dan diperkuatkan oleh 6 orang pemain import.

Berlangsung di Stadium Thammasat iaitu venue rasmi pasukan, Pahang bermula dengan kesebelasan yang hampir sama semasa menentang Huangzhou tempoh hari manakala Bangkok United turun tanpa pemain import mereka pada separuh masa pertama dan dibarisi oleh kesemua pemain tempatan.

Dengan tempoh rehat selama sehari, sememangnya memberi kelegaan kepada Coach Shah apabila dapat menyenaraikan kembali Mickey yang kurang cergas sebelum itu. Penyenaraian ini memperlihatkan bayangan barisan utama yang bakal diturunkan oleh Coach Shah untuk menghadapi musim 2016 nanti.

Bangkok United bagaimanapun mendahului melalui sepakan penalti setelah Ridwan menjatuhkan penyerangnya di dalam kawasan kotak penalti tetapi dibalas Pahang seminit kemudian melalui pemain import Argentina German Pachecho.

Gol Pachecho berpunca daripada lorongan cantik Volas kepada Mickey ke kawasan kiri yang kemudiannya melakukan hantaran lintang rendah kepada Pachecho untuk mudah diterjemahkan kepada jaringan gol.

Masuk babak kedua, Bangkok United memasukkan kesemua pemain importnya dan hasilnya mereka berjaya menambah 3 lagi gol untuk menjadikan jaringan 4-1.

Walaupun bolos dengan jaringan besar, penjaga gol Pahang Nasril Nourdin bermain cemerlang dengan menafikan beberapa percubaan penyerang lawan termasuk dua kali situasi satu lawan satu.

Pertahanan pada perlawanan itu agak goyah dan banyak tertewas gara-gara kegagalan melakukan perangkap offside kepada penyerang Bangkok United.

 

 

 

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top