Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Terima Kasih Alex!

Terima Kasih Alex!

Mohd Azammuddin bin Mohd Akil, adalah nama yang tidak asing lagi di bibir peminat bola sepak tanah air amnya dan  di negeri Pahang secara khususnya.

Pemain berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini lebih popular dengan gelaran Alex, kini bakal meninggalkan pasukan kesayangannya.

Persis sensasinya perpindahan Roberto Baggio dari Fiorentina ke kelab musuh tradisi Juventus, begitulah juga perasaan penyokong Pahang ketika ini apabila mengetahui pemain sanjungan mereka bakal menyarung jersi musuh tradisi (untuk 3 tahun kebelakangan), JDT I.

Perkara biasa dalam bola sepak, pemain datang dan pergi, namun perpindahan pemain kesayangan ke pasukan musuh tradisi amat pahit untuk diterima.

Namun begitu, respon baik dari majoriti penyokong Pahang, apabila ramai tampil memberi kata semangat dan dorongan di laman sosial kepada Alex dalam mengharungi musim 2016 di negeri orang.

2009 Bermula

Sewaktu prestasi Pahang kian merudum dan masalah kewangan semakin parah, dengan sebilangan besar pemain bintang mula meninggalkan pasukan ditambah pula penggunaan pemain import yang ‘diharamkan’, telah memaksa Coach Tajuddin Nor dan Zainal Abidin Hassan membina kembali skuad dengan mengambil ramai muka baru, antaranya Badrul Hisani, Abdul Rahman Kadir, R Karthigesu, dan ramai lagi.

Menyertai Pahang dari kelab yang sedang dilanda masalah iaitu UPB MyTeam, Alex merupakan seorang pemain serba boleh kerana bukan sahaja boleh berfungsi sebagai penyerang, malah boleh beraksi di posisi sayap kanan dan kiri.

Musim pertama sahaja, beliau sudah meledak 8 gol namun gagal membantu Pahang yang sekadar menduduki tangga kedua tercorot.

Pahang terselamat dari tersingkir ke Liga Perdana 2010 kerana penarikan diri Kuala Muda Naza dan UPB My-team dari Liga Super 2010.

Dalam saingan Piala Malaysia pada tahun itu, Alex hanya meledak 1 gol dan Pahang terkandas di peringkat kumpulan.

Pada musim berikutnya, Alex kian menunjukkan taring apabila cemerlang meledak 10 gol sekaligus membantu Pahang memperbaiki kedudukan dengan menduduki tangga ke-8 dalam saingan Liga Super.

Dalam saingan Piala Malaysia, Alex cemerlang membantu Pahang sehingga ke Suku Akhir sebelum tewas kepada Johor FC.

Namun langit tidak selalunya cerah, musim 2011 prestasi Pahang kian hambar apabila menjunam ke tangga ke-2 tercorot sekali gus turun takhta buat pertama kali ke Liga Perdana bersama Perlis, serta tidak layak ke Piala Malaysia pada tahun itu.

Dipinjamkan ke Kelantan pada saingan Piala Malaysia 2011
Dipinjamkan ke Kelantan pada saingan Piala Malaysia 2011

Menyedari bakatnya tidak perlu disia-siakan, sepanjang saingan Piala Malaysia Alex dipinjamkan ke skuad Kelantan dan berjaya membantu pasukan juara bertahan itu melangkah sehingga ke suku akhir.

Kembali Ke Liga Super

Beraksi di saingan Liga Perdana 2012, Alex cemerlang meledak 7 gol bersama gandingan Fauzi Roslan dan Maycon Calvalho Inez dengan membantu skuad Pahang muncul Naib Juara Liga Perdana dan layak ke saingan Play-Off Liga Super 2013.

Pahang cemerlang membenam saingan Kedah di Final Play-Off sekali gus layak kembali ke Liga Super.

Semasa dalam saingan Piala Malaysia,  Alex cemerlang membantu Pahang melangkah ke Suku Akhir, namun tewas kepada pendatang baru, Lions XII dengan aggregat tipis.

Menjaringkan gol semasa menentang Indonesia di AFF2012
Menjaringkan gol semasa menentang Indonesia di AFF 2012

Prestasi memberansangkan Alex sepanjang musim membolehkan beliau terpilih dalam skuad K Rajagobal ke Piala AFF 2012 dan berjaya meledak gol pembukaan ketika Malaysia menewaskan Indonesia di peringkat kumpulan.

Semasa musim 2013, di bawah kendalian Dollah Salleh Pahang menduduki tangga ke-5 Liga Super dan menjadi antara aset utama membantu Pahang layak ke Final Piala Malaysia sekali gus muncul juara dengan menjadi antara penyerang tempatan paling banyak menjaringkan gol.

Siapa dapat melupakan lintangan ‘Grande’ Alex hasil lorongan Jalaluddin Jaafar, kemas ditanduk Matias Conti dan menerjah jaring juara bertahan, Kelantan.

Siapa sangka dari hanya seorang penyerang Liga Perdana, Alex muncul Pemain Terbaik Final Piala Malaysia 2013, sekali gus melonjak nama beliau di mata peminat bola sepak tanah air.

Alex dan Treble

Tahun 2014 merupakan musim cemerlang bagi Alex dan juga Pahang kerana walaupun hanya baru 2 musim di Liga Super, Tok Gajah cemerlang meraih 3 trofi, selain menduduki tangga ke-3 Liga Super.

Bersama Pahang menjuarai Piala FA 2014
Bersama Pahang menjuarai Piala FA 2014

Aksi ‘tarian’ Alex sewaktu Final Piala Malaysia menentang JDT ketika masa tambahan menarik perhatian penyokong Pahang untuk memberikan sorakan semangat buat pemain yang ketika itu hanya beraksi 10 orang.

Rekod cemerlang Pahang dan Alex pada musim ini membolehkan beliau sekali lagi terpilih dalam senarai 22 pemain skuad kebangsaan ke Piala AFF 2014 sehingga membantu negara layak ke perlawanan akhir namun tewas di tangan Thailand.

Musim 2015, Alex membantu Pahang menjadi Naib Juara (sebelum dipotong mata) Liga Super serta layak ke Separuh Akhir Piala FA dan Piala Malaysia dan menjadi watak penting membantu Pahang layak ke Suku Akhir Piala AFC.

Namun begitu, layangan kad merah kepada Alex ketika Pahang menentang Kelantan di Separuh Akhir Piala FA sedikit sebanyak mencalarkan imej beliau.

Segelintir penyokong mencemuh sikap tidak profesional beliau, dan tidak kurang juga yang terus memberi semangat kepadanya.

Alex ketika saingan Piala Malaysia 2015. Beliau menjaringkan hatrik dalam perlawanan ini.
Alex ketika saingan Piala Malaysia 2015. Beliau menjaringkan hatrik dalam perlawanan ini.

Walaubagaimanapun, Alex bangkit dalam saingan Piala Malaysia apabila muncul penjaring terbanyak pasukan dan antara terbanyak di kalangan penyerang tempatan secara keseluruhan.

Sudah tentu rekod cemerlang Alex untuk 2 musim kebelakangan ini menjadi perhatian beberapa pasukan gergasi tanah air.

Akhirnya penghujung musim ini, desas desus tersebut menjadi nyata, apabila JDT I membuat keputusan mengambil beliau dari Pahang.

Lagenda 12

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Malaysia2013
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2013

Sayu dan kecewa dengan pemergian Alex, penyokong Pahang ternyata masih rasional dan banyak memberikan kata semangat kepada beliau di laman sosial.

No.12 dipakai beliau, menyambung legasi lagenda Pahang, Azizul Kamaluddin kini tinggal kenangan.

Nama Alex tidak akan dilupakan peminat dan penyokong Tok Gajah atas segala jasa beliau. Semoga Berjaya Alex !

Anda sememangnya layak bergelar Lagenda 12.

Pencapaian Alex di Pahang

Liga Perdana – Naib Johan 2012
Liga Super – Naib Johan 2015
Piala FA – Johan 2014
Piala Malaysia – Johan 2013, 2014
Piala Sumbangsih – Johan 2014, Naib Johan 2015
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2013

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

Leave a Reply

Top