Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Keluh-kesah Di Kota Singa

Keluh-kesah Di Kota Singa

Sesiapa yang pernah ke Singapura untuk menyaksikan perlawanan bolasepak, pasti sedia maklum dengan kawalan ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa Singapura.

Sejak tercetusnya provokasi semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia di antara Singapura dan Malaysia pada tahun 2011, pihak berkuasa Singapura telah mengambil pendekatan yang ekstrim iaitu kawalan yang amat ketat kepada penyokong-penyokong bola dari Malaysia.

Ini termasuk juga kawalan ke atas penyokong-penyokong negeri dan kelab yang terlibat dalam Liga Malaysia.

Perancangan berbeza

Perancangan penyokong dari Pahang yang diketuai oleh Elephant Army (EA) untuk masuk ke Singapura sedikit lewat nampaknya memakan diri.

Melihat kepada pengalaman sebelum ini yang menyaksikan penyokong-penyokong dikawal ketat dan ditahan lama di kawasan stadium sebelum memasuki stadium menyebabkan penganjur rombongan mengambil keputusan sedemikian.

Namun Singapura tidak peduli! Walaupun kami lewat sampai, walaupun perlawanan sudah bermula, tetapi pihak berkuasa Singapura tetap menjalankan prosedur keselamatannya malahan lebih ketat lagi dari sebelumnya.

Percanggahan pendapat

Nada kurang bersetuju sebenarnya sudah bermula dari segelintir ahli rombongan apabila pengelola mengatakan mensasarkan untuk bertolak ke sempadan Malaysia-Singapura pada pukul 4.30pm.

Ada yang bersuara mengatakan waktu itu agak lewat tetapi pihak penganjur memberi alasan ingin mengelak kawalan dan tahanan pihak berkuasa Singapura di stadium kelak seperti yang mereka pernah alami sebelum ini.

Perjalanan ke sempadan melalui Tuas hanya bermula pada pukul 5.00pm. Tiada masalah di sempadan Malaysia tetapi segala rasa di hati bercampur-baur apabila menjejakkan kaki di ICQ Tuas Singapura.

Dua jam untuk melepasi pemeriksaan

Tiket

Ya! itulah masa yang diperlukan untuk melepasi pihak imigresen Singapura. Hampir dua jam masa diperlukan untuk menyelesaikan pemeriksaan imigresen Singapura ke atas rombongan penyokong Pahang yang hanya datang dengan dua buah bas ini.

Walaupun pihak imigresen Singapura mengambil inisiatif membuka satu kaunter khas untuk kami namun prosesnya amat perlahan.

Oleh itu, beberapa ahli rombongan meminta pegawai imigresen Singapura yang memantau untuk membuka lebih banyak kaunter lagi dan permintaan kami ditunaikan tetapi hanya satu kaunter tambahan sahaja dengan alasan mereka kekurangan staf.

Dari hasil pemerhatian saya, maksimum satu minit diperlukan untuk pemeriksaan paspot. Semasa pemerhatian ini dijalankan pada pukul 6.30pm, ada tiga puluh ahli rombongan yang masih menunggu giliran dan saya menjangkakan pemeriksaan akan selesai selewat-lewatnya pada pukul 7.00 petang, dan memang benar telahan saya kerana pada pukul 6.50 petang barulah segalanya selesai.

Ahli rombongan perlulah bertindak efektif

Satu tip ingin saya sarankan bagi mempercepatkan proses pemeriksaan untuk kunjungan akan datang ialah segera berjalan laju ke arah mesin pengimbas beg setelah menerima paspot dari pegawai di kaunter.

Ini kerana pegawai imigresen yang bertugas di kaunter hanya akan membuka pagar untuk giliran orang seterusnya setelah orang terdahulu sampai ke laluan mesin pengimbas.

Kalaulah anda berjalan melenggang kangkung, maka lambatlah giliran orang seterusnya untuk diperiksa.

Walaupun begitu, saya tidak pasti entah bila pula tip ini boleh diguna pakai? Terlupa pula saya yang Singapura tidak lagi menyertai Liga Malaysia tahun depan.

Seperti sengaja melambatkan

Hujan lebat menyapa sebaik kami keluar dari ICQ tetapi Alhamdulillah cuaca kembali baikapabila kami berada di tengah-tengah Kota Singa.

Perjalanan hanya mengambil masa setengah jam ke Stadium Jalan Besar dan sebaik sampai, pihak berkuasa Singapura sudah menunggu rombongan kami.

Kami ingatkan akan dibenarkan turun dari bas sebaik tiba tetapi tidak kerana secara tiba-tiba bas kami diiring polis bermotor ke suatu tempat iaitu di satu lapangan parkir bas yang besar.

Di situ kami lihat satu lagi bas penyokong Pahang yang difahamkan dari Shah Alam sedang menunggu.

Walaubagaimanapun, kami masih lagi tidak dibenarkan turun dari bas, hanya person incharge (PIC) sahaja yang dibenarkan turun dan berjumpa dengan pihak berkuasa Singapura.

Police and dog
Polis yang berkawal di sekitar stadium. Beberapa penyokong Lions XII cuba menukar mafla dan jersi dengan penyokong Pahang. Pertukaran dibuat dengan mencampak barang-barang diantara pagar yang mengelilingi kami.

Semasa menunggu inilah, tiket-tiket perlawanan mula diagih-agihkan oleh PIC kepada semua ahli rombongan sambil kami disuruh menunggu lagi.

Semasa kejadian ini, perlawanan di Stadium Jalan Besar sudah pun bermula.

Resah dengan keadaan ini dan juga kedengaran nada marah dan kata-kata makian sudah mula kedengaran dari peserta rombongan.

Kami tidak faham kenapa kami masih lagi ditahan dan masih tidak dibenarkan bergerak ke stadium.

Beberapa minit kemudian, bas rombongan dari Shah Alam bergerak meninggalkan kami sambil diiringi polis bermotor dan pulang kembali ke kawasan parkir itu semula dengan keadaan kosong tanpa penumpang.

Itulah yang mereka lakukan sehingga semua bas bergerak meninggalkan penumpang dan kembali secara bergilir-gilir.

Semasa menanti pergerakan bas ini selesai, ini kami menerima perkhabaran Pahang telah ketinggalan 2-0 yang membuatkan keluh-kesah dan semakin tidak senang duduk.

Selepas itu, bas EA dari Kuantan bergerak meninggalkan kami dan kembali dengan penumpang yang kosong, barulah bas kami rombongan TNT KL ini dibenarkan pergi.

Periksa dan terus periksa

Sebaik sampai ke stadium, perlawanan telah pun setengah jam bermula.

PIC menyuruh kami siap sedia dengan tiket dan paspot sebelum turun dari bas, kerana menurutnya ini adalah saringan pemeriksaan keselamatan yang pertama.

Apa yang kami pelik ialah kenapa perlu periksa paspot lagi? Tidak cukupkah pemeriksaan imigresen di ICQ tadi?

Terdapat juga sedikit kekecohan telah tercetus akibat ketidakpuasan hati seorang dua penyokong Pahang disebabkan terlalu banyak pemeriksaan yang mereka telah lakukan.

Selepas tiket dan paspot diperiksa, kami menuju ke saringan pemeriksaan keselamatan yang kedua iaitu pemeriksaan beg dan kain rentang.

View
Pemandangan dari tempat duduk penyokong Pahang.

Air botol memang tidak dibenarkan sama seperti undang-undang di Malaysia sesuatu yang kami boleh terima tetapi flusk air panas untuk bayi tidak dibenarkan juga dan mereka menyuruh si ibu menyiapkan susu anak mereka sebelum dibawa masuk ke dalam stadium.

Bendera yang dilipat rapi juga dikirai-kirai untuk memeriksa apa-apa objek tersembunyi.

Selepas itu kami ke saringan pemeriksaan yang ketiga dan terakhir (harapnya) iaitu pemeriksaan tubuh badan yang mana lelaki dan perempuan tidak terkecuali.

Detik terakhir Lions XII di Liga Malaysia

Pahang kalah dengan jaringan 2-0 pada suku akhir kedua ini tetapi layak ke separuh akhir Piala Malaysia dengan aggregat 4-3 dan akan bertemu Selangor pada separuh akhir.

2nd half
Separuh masa kedua dari tempat duduk penyokong Pahang

Pada kali ini, kami dibenarkan berada lebih lama di dalam stadium setelah perlawanan tamat tidak seperti pengalaman sebelum ini yang dikerah meninggalkan stadium secepat mungkin.

Kami dibenarkan untuk melihat upacara penghormatan kepada pasukan Lions XII yang telah disediakan kerana tiada lagi aksi mereka dalam Liga Malaysia pada tahun depan.

Change
Perlawanan tamat. Kedua-dua pasukan saling bertukar jersi.

Ada tayangan detik-detik dan memori pasukan Singapura sepanjang pembabitan mereka dalam Liga Malaysia ditayangkan di skrin besar diikuti dengan pemain-pemain Lions XII mengelilingi padang mengucapkan terima kasih kepada penyokong mereka.

Setelah itu, baru kami diarah meninggalkan Stadium Jalan Besar.

Sikap mereka yang suka mendesak, menyebabkan bas kami terpaksa meninggalkan stadium walaupun masih kekurangan seorang ahli rombongan. PIC telah mengarahkan pemandu bas untuk menunggu di kawasan parkir bas dan menghubungi ahli rombongan yang tertinggal itu untuk berjumpa di kawasan parkir itu. Setelah ahli rombongan mencukupi, kami bergerak meninggalkan Singapura. Sebelum detik 12 tengah malam, kami telah pun selamat memasuki sempadan Malaysia.

Guard
Pasukan Pahang memberi penghormatan kepada Lions XII untuk aksi terakhir mereka dalam Piala Malaysia. Mereka tidak lagi dijemput untuk bermain dalam Liga Malaysia pada tahun akan datang.
mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top