Anda di sini
Laman Utama > Pahang FA > [Piala Malaysia: Preview] Selangor vs Pahang

[Piala Malaysia: Preview] Selangor vs Pahang

Teka teki mengenai pasukan manakah yang akan beraksi di pentas akhir Piala Malaysia edisi ke 89 akan terjawab Ahad ini apabila kedua-dua pasukan yang dianggap musuh tradisi sejak dahulu akan membuat perhitungan terakhir di Shah Alam.

Pahang yang hanya mampu seri di Kuantan pada Rabu lalu dilihat mungkin sedikit tertekan untuk meneruskan misi menjulang kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut. Namun begitu, tekanan ini perlu dianggap positif yang mampu meningkatkan motivasi para pemain seperti yang ditunjukkan tahun lalu apabila mereka mampu bangkit menewaskan Kedah dengan jaringan 5-0 sebelum tewas di Alor Star 3-1.

Perlawanan pertama: Pahang yang turun dihadapan ribuan penyokong setianya dilihat bermain dengan baik namun deretan peluang gagal diterjemahkan kepada jaringan yang boleh dijadikan bekalan di Shah Alam. Selangor pula turun dengan taktikal yang agak defensif dilihat sekali sekala mengancam kubu Pahang dan mereka hampir menghukum barisan pertahanan Pahang pada lewat saingan separuh masa kedua menerusi S. Veenod, mujurlah tendangannya melewati palang gol tuan rumah.

Pemain tumpuan: Harapan untuk menggegarkan gawang pasti disandarkan buat dua tenaga import Pahang iaitu Nwakaeme dan Conti. Namun, melihat kepada percubaan baik ke arah gol oleh Hafiz Kamal dan Zesh Rehman seakan memberi petanda bahawa harapan ini juga boleh digalas oleh mereka pada pertemuan ini nanti. Jaringan hat-trick oleh Alex pada pertemuan pembuka tirai kumpulan D yang lalu sudah pasti ditagih untuk memberikan kelebihan awal buat Tok Gajah. Manakala buat pasukan Merah Kuning, dua pemain dibahagian flank, Andik Vermansyah dan Ahmad Hazwan Bakri  dilihat bakal menjadi duri dalam daging kepada benteng pertahanan sambil prestasi yang baik ditunjukkan oleh ketua pasukan Selangor, Shahrom Kalam bakal membuat strike force Pahang sukar untuk menembusi gawang lawan nanti.

Keadaan perlawanan: Dengan keputusan 0-0 di Darul Makmur membayangkan kepada dua perspektif kelebihan buat kedua-dua pasukan nanti. Melalui perspektif psikologi, Selangor ternyata mempunyai sedikit kelebihan apabila bakal beraksi di hadapan puluhan ribu penyokongnya nanti namun dari perspektif teknikal perlawanan pula, Pahang dilihat mempunyai kelebihan berdasarkan peraturan gol ditempat lawan. Sekiranya Pahang mampu menjaringkan satu gol, pasukan tuan rumah perlu membalas dengan dua jaringan atau mengikut formula 1×2 (1 gol pelawat/tuan rumah perlu jaring 2 gol). Melihat kepada situasi ini, Pahang dijangka bermula dengan agak offensive untuk mencari gol awal seterusnya menyulitkan peluang Selangor meraih kemenangan.

Pilihan pemain: Pahang dilihat mempunyai variasi pemain dibahagian pertahanan apabila Razman Roslan semakin pulih dari kecederaan dan sekembalinya Aziz Ismail dari penggantungan bakal menambah kesegaran buat benteng Pahang nanti.

Peluang Pahang: Skuad Tok Gajah dilihat berpeluang menjaringkan gol seandainya peluang yang ada dapat dimanfaatkan dan para pemain perlu sedar gol yang bakal dijaringkan di Shah Alam terlalu bernilai buat pasukan. Mengikut statistik berdasarkan 15 perlawanan melibatkan Pahang di tempat lawan, Pahang gagal untuk menjaringkan sebarang gol sebanyak 4 perlawanan iaitu 3 perlawanan membabitkan aksi di liga super (bertemu JDT, Sarawak dan ATM) dan 1 perlawanan kempen Piala Malaysia (kalah 2-0 ditangan Lions XII) menjadikan peratusan sebanyak 26% untuk tidak menjaringkan sebarang gol ditempat lawan. Sementara itu, Pahang dilihat mampu menjaringkan gol di Shah Alam berdasarkan kemenangan 3-5 bertemu PDRM dan 1-3 bertemu Selangor ketika aksi di liga super dan berjaya menang ke atas PKNS (0-2) dan PDRM (0-3) di Shah Alam sepanjang kempen kumpulan D yang lalu. Walaubagaimanapun, rekod terdahulu tidak boleh dijadikan ukuran 100% tatkala situasi sebenar perlawanan Ahad nanti sememangnya berbeza ditambah dengan suhu perlawanan ketika ini yang telah masuk ke perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang ternyata banyak meninggalkan impak dan kejutan yang tersendiri.

Secara kesimpulannya, landasan untuk meraih 3 kejuaraan berturut-turut masih lagi tepat dan terbuka buat Pahang. Usaha untuk mencipta branding sebagai pasukan keempat menjulang kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut ini perlu diterjemahkan oleh para pemain sambil disokong kuat oleh pihak pengurusan dan para penyokong setia Tok Gajah. Ayuh barisan penyokong setia Pahang, padukan sokongan kita Ahad ini di Stadium Shah Alam.

Barisan kemungkinan (pilihan tokgajah.com)

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top