Anda di sini
Laman Utama > Artikel > “3 vs 33”

“3 vs 33”

2 vs Selangor

Misi mencipta 3 kali kejuaraan Piala Malaysia berturut-turut kini berada pada trajektori yang terbaik untuk dikecapi walaupun tewas ke atas Lions XII di Jalan Besar Sabtu lalu. Meskipun tewas 2-0 pada perlawanan itu, ia tidak menghalang Pahang untuk mara ke pentas separuh akhir buat kali ke-3 berturut-turut dengan kemenangan agregat 4-3 untuk bertemu pasukan Selangor yang kini sedang melengkapkan misi 33 nya.

Angka 3 ketika ini sangat sinonim dan signifikan buat kedua-dua buah pasukan yang akan membuat perhitungan bagi mencari satu slot pentas akhir piala yang sarat dengan penceritaan legasi dan tradisi sejak dari dulu lagi. Buat pasukan Tok Gajah, kesempatan untuk meneruskan aksi separuh akhir perlu dimanfaatkan untuk tampil mencipta ‘branding’ yang tersendiri iaitu sebagai antara pasukan yang pernah menjulang kejuaraan Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut sebaris dengan pasukan seperti Selangor, Singapura dan Kuala Lumpur.

Selain memburu misi ‘hat-trick’ kejuaraan ini, skuad Tok Gajah dilihat ingin melebarkan pencapaian kepada 5 kejuaraan selepas berjaya menjuarainya pada tahun 1983, 1992, 2013 dan 2014. Manakala bagi skuad Merah Kuning, misi 33 yang tertangguh sebelum ini dilihat peluang terbaik untuk diraih berdasarkan pencapaian pasukan ini mara ke peringkat separuh akhir ini. Misi 33 yang dilancarkan sejak tahun 2011 menyaksikan Selangor berjaya tampil sebanyak 2 kali di pentas separuh akhir iaitu bagi musim 2011 dan 2012 namun dikecewakan oleh 2 pasukan dari Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan.

Namun begitu, Rabu ini pentas saingan separuh akhir kembali menemukan dengan satu lagi pasukan dari Pantai Timur dan Selangor sudah pasti tidak mahu dikecewakan sekali lagi mirip skrip musim 2011 dan 2012 yang lalu. Pertembungan sengit melibatkan kedua-dua buah pasukan dalam pentas Piala Malaysia tidak perlu disangkal lagi sambil menyaksikan rekod pertemuan jelas memihak kepada pasukan Selangor. Paling terkesan adalah kekalahan dua kali pada pasukan Selangor pada pentas akhir Piala Malaysia di Shah Alam bagi musim 1995 dan 1997 seakan membangkitkan kembali aura para pemain ketika ini untuk menebus kekecewaan lampau.

Walaubagaimanapun, musim 2015 skripnya seakan memihak Pahang apabila Pahang akhirnya berjaya menundukkan Sang Gergasi Merah di Shah Alam pada pertemuan pusingan kedua liga super yang lalu dengan jaringan 1-3 sebelum kedua-dua pasukan hanya mampu berkongsi mata di Darul Makmur. Namun begitu, keputusan saingan liga super tidak boleh dijadikan ukuran semata-mata tatkala aksi di pentas separuh akhir piala berprestij ini nyata berbeza dengan menceritakan pelbagai kejutan terdahulu.

Misi 3 kali berturut-turut vs misi 33 nyata hangat diperkatakan ketika ini seterusnya menambah warna-warni kepada penceritaan Piala Malaysia edisi ke 89 ini yang mula dipertandingkan sejak tahun 1921. Mampukah Pahang menjadi pasukan yang keempat untuk mencipta ‘hat-trick’ Piala Malaysia? Dan Mampukah Selangor menoktahkan misi 33 selepas kali terakhir dinobat juara pada tahun 2005? Sama-sama kita nantikan detik ini sepanjang Disember nanti.

Selamat berjuang kepada kedua-dua pasukan!

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top