Anda di sini
Laman Utama > Berita > Tiada penyertaan Piala AFC untuk Pahang?

Tiada penyertaan Piala AFC untuk Pahang?

Kegembiraan menundukkan Lions XII 4-1 di Stadium Darulmakmur tercalar apabila mendengar berita buruk hasil dari mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam bagi sesi 2014-2018 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi.

borji
Borji semasa menentang Selangor di Shah Alam.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Afandi Hamzah pada sidang media sejurus mesyuarat itu berakhir menyatakan bahawa pasukan Pahang dihukum pemotongan 6 mata dalam Liga Super 2015 kerana tidak membayar pampasan kepada bekas pemain import Pahang dari Maghribi pada tahun 2013 iaitu Mohammed Borji.

Impaknya, Pahang kehilangan slot ke Piala AFC pada musim hadapan setelah menduduki tempat ketiga di belakang Selangor yang sebelum ini mempunyai perbezaan 5 mata.

“Status Pahang sebagai naib juara Liga Super 2015 telah dilucutkan kerana Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru saja menghantar surat mengarahkan FAM untuk memotong enam mata Pahang dalam saingan liga domestik musim ini.Ia disebabkan kelewatan Pahang dalam proses menyelesaikan masalah gaji dan pampasan oleh bekas pemain importnya pada musim 2013, Mohamed Borji.Dengan itu, Pahang kini jatuh ke tempat ketiga dan Selangor pula naik ke tempat kedua Liga Super 2015 di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).Selangor akan menjadi wakil Malaysia ke saingan Piala AFC 2016 bersama-sama JDT.FAM akan memaklumkan perkara ini kepada pihak AFC untuk mencalonkan Selangor sebagai pasukan yang menggantikan tempat Pahang menerusi slot selaku naib juara Liga Super”.

Apa yang mengejutkan, tiada perbicaraan atau liputan media tentang perkara ini setelah hampir 2 tahun berlalu.

Ini sangat berlainan dengan kes Kelantan vs Steve Darby dan Obinna atau ATM vs B Sothinathan yang mendapat liputan meluas media dan diketahui oleh semua peminat setia bolasepak tanahair.

Siapakah Mohammed Borji?

Pemain berusia 34 tahun yang lahir di Casablanca, Maghribi merupakan pemain import yang diambil Pahang untuk mengharungi musim 2013 setelah dinaikkan pangkat ke Liga Super apabila bermain dalam  Liga Perdana pada tahun sebelumnya.

Bermain sebagai penyerang, Borji ditandatangani Pahang dari kelab negaranya Raji Beni Mellal bersama seorang lagi penyerang dari Macedonia, Nikolche Klechkaroski.

Diturunkan bersama Niko pada perlawanan pertama Liga Super menentang JDT yang ketika itu baru sahaja melakukan transformasi, beliau gagal memberi kesan kepada pasukan sehinggalah kedua-duanya ditukar pada separuh masa kedua yang menyaksikan Pahang menewaskan JDT 3-2 dengan kesemua gol Pahang dijaringkan selepas mereka digantikan.

pahang-vs-jdt-johor-dt-fa-cup-2013
Perlawanan pertama Borji. Beliau dikeluarkan apabila babak kedua disambung.

Tidak putus harap, Dollah Salleh yang menjadi Ketua Jurulatih ketika itu tetap menurunkan Borji pada perlawanan seterusnya menentang Felda United dan hasilnya beliau menjaringkan gol tunggal Pahang dalam perlawanan itu yang dimenangi oleh Pahang dengan keputusan 1-0.

Namun, itu sahaja jaringan beliau sehinggalah Pahang mengambil keputusan menamatkan kontrak beliau pada jendela perpindahan seterusnya dan menggantikannya dengan Matias Conti dari Argentina.

Impak besar kepada Pahang

Pemotongan 6 mata sememangnya memberi impak yang besar kepada pasukan Pahang keseluruhannya kerana hukuman ini bermakna Pahang perlu memberi kedudukan Naib Juara liga kepada pasukan Selangor.

Setelah bertungkus lumus memberi saingan yang kuat kepada JDT, keputusan seperti ini sangat menyedihkan.

Kesan yang paling ketara ialah apabila Pahang tercicir dari saingan Piala AFC pada musim hadapan dan akan menyerahkan slot itu kepada Selangor.

Penyertaan Pahang dalam Piala AFC sedikit sebanyak memberi keuntungan seperti pendedahan pemain, nilai komersil dan juga dari segi kewangan kerana boleh membuatkan banyak penajayang berminat.

Fahrizal terkejut dan kecewa dengan keputusan FAM

Quote 2

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pahang FC, Fahrizal Hassan melahirkan rasa terkejut dan nyata kecewa dengan keputusan FAM.

Melalui twitter, Fahrizal menyatakan kes Borji sepatutnya dianggap sudah selesai kerana kedua-dua pasukan telah bersetuju dengan pampasan dan penamatan kotrak yang telah dirunding sebelum ini.

Quote 3Perundingan penamatan kontrak tersebut telah dilakukan melalui Jabatan Undang-undang FAM dan mengikut Prosedur kendalian standard yang telah dikeluarkan oleh FAM sendiri.

Malangnya, prosedur ini mungkin tidak memenuhi standard yang dikeluarkan dan tidak diiktiraf oleh FIFA menyebabkan terdapat ketirisan dan kelemahan berlaku.

Quote 4Borji juga pernah mengakui beliau telah ditipu oleh ejennya dan pengaduan ke FIFA seolah-olah menjadi jalan terakhir untuk mendapat kembali pampasannya.

Selain itu, Fahrizal juga nyata kecewa dengan FAM apabila badan induk bolasepak negara itu sendiri tidak mempertahankan pasukan di bawah naungan mereka sendiri dan terus membiarkan hukuman ini berlaku.

FAM tidak dapat memberi pengesahan penghantaran

Post FB PBNPLaman Facebook rasmi PBNP telah memuatnaikkan bukti dokumen penamatan kontrak ini iaitu borang C06 yang menunjuk dengan jelas tandatangan Borji sendiri yang bersetuju untuk menamatkan kontrak tanpa perlu dibayar pampasan oleh PBNP.

Pokoknya, adakah borang ini dihantar kepada FIFA sebagai bukti kes oleh FAM kerana mengikut PBNP sendiri, pihak FAM gagal menunjukkan pengesahan yang mereka ada melakukan perkara tersebut.

Oleh itu, jelaslah jika melihat kepada bukti ini tiada kes yang hendak dibicarakan oleh FIFA sekaligus sepatutnya tiada hukuman yang patut dikenakan.

Harapan kami agar hukuman ini dapat dikaji balik berdasarkan bukti-bukti yang dikemukan dan mengharapkan FAM mengambil peranan dalam menyelesaikan perkara ini kerana bukan sahaja menjejaskan moral pasukan tetapi juga mencalar krebiliti Pahang keseluruhannya dalam persiapan ke arah era penswastaan kelak.

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top