Anda di sini
Laman Utama > Pahang FA > [Piala Malaysia: Preview] Pahang vs Lions XII

[Piala Malaysia: Preview] Pahang vs Lions XII

Setelah berehat selama hampir dua minggu untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa, Piala Malaysia kembali bersambung dengan 8 pasukan sudah mengesahkan tempat ke suku akhir dengan Sarawak menjadi pasukan terbaru setelah berjaya seri dengan JDT di Larkin Sabtu lepas.

Bagi skuad Tokgajah, laluan di suku akhir tampak sukar apabila akan berhadapan dengan skuad dari seberang tambak, Lions XII yang juga juara kumpulan A dalam saingan kumpulan. Apa yang membimbangkan Pahang adalah rekod Lions yang tidak pernah tewas di tempat sendiri pada musim ini dan perlu diingat Pahang pernah dibelasah di Jalan Besar dengan keputusan 4-2 semasa perlawanan dalam Liga Super yang lalu.

Prestasi semasa: Seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang dalam perlawanan terakhir bukanlah satu keputusan yang baik jika diukur pada prestasi semasa. Lebih pada ‘simpan kuku’ semasa perlawanan tersebut, Zainal kelihatan mengarahkan anak buahnya bermain dengan ‘santai’ setelah layak lebih awal ke peringkat suku akhir.

Lions XII pula sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila menafikan peluang Terengganu untuk ke suku akhir pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Walaupun pernah ketinggalan pada suatu masa dan bermain dalam keadaan padang yang tidak memuaskan, Lions XII masih mampu menang dengan bergaya dihadapan penonton lawan. Disiplin dan mendengar arahan jurulatih menjadi kunci kejayaan mereka menjuarai kumpulan A menewaskan 3 lagi pasukan iaitu Kedah, Terengganu dan JDT II.

Gandingan Dickson-Nwakaeme akan menjadi tumpuan pertahanan Lions XII
Gandingan Conti-Nwakaeme akan menjadi tumpuan pertahanan Lions XII

Pemain tumpuan: Seperti biasa, Dickson Nwakaeme bakal menjadi pemain yang mencuri tumpuan kerana kelincahannya dalam mencorak serangan Pahang. Dengan sasaran untuk mencari gol sebanyak mungkin sebagai bekalan sebelum bertandang ke Jalan Besar, gandingan beliau dengan Conti amatlah ditagih. Ketua Jurulatih Lions XII, Fandi Ahmad dalam laman web rasmi mereka mengatakan gandingan ini amat digeruninya dan menjadi perhatian utama mereka dalam perlawanan malam ini.

Bagi Lions XII, kekebalan dan ketangkasan penjaga golnya Izwan Mahbob sememangnya menjadi duri dalam daging kepada Pahang nanti. Beliau yang menjadi tumpuan pada bulan yang lepas di kalangan peminat apabila pengurus Real Sociedad yang dipecat, David Moyes mengatakan pernah mengarahkan peninjaunya untuk melihat Izwan bagi membawanya beraksi di Liga Sepanyol namun tidak berkesempatan.

Gandingan penyerang Lions XII.
Gandingan penyerang Lions XII.

Keadaan perlawanan: Lions XII yang rata-rata dibarisi dengan pemain bawah 23 tahun Singapura lebih gemar bermain pantas dan juga amat merbahaya ketika melakukan serangan balas. Ini terbukti apabila gol-gol yang dijaringkan di Stadium Darulmakmur semasa perlawanan Liga Super adalah berpunca dari serangan balas. Begitu juga semasa perlawanan terakhir mereka di Gong Badak yang meranapkan impian Terengganu untuk ke suku akhir.

Kembalinya Hafiz Kamal di bahagian tengah diharap akan memberi nafas baru kepada jentera tengah Pahang. Hantaran beliau kepada pemain sayap dan penyerang akan memberi masalah kepada pertahanan Lions XII kelak. Selain itu, kehadiran beliau juga memberi ruang kepada Zesh Rehman untuk memberi fokus dalam melindungi pertahanan disamping membantu sendiri Hafiz di bahagian tengah dalam merencana serangan.

220px-1_khairul_amri_2014
Khairul Amri cedera hamstring dan bakal terlepas perlawanan malam ini.

Kehilangan pemain: Penyerang sensasi Lions XII, Khairul Amri sedang bergelut dengan kecederaan hamstring dan terlepas perlawanan ini dan juga Izzdin Shafiq yang digantung perlawanan. Ketiadaan Amri menyaksikan Fandi bakal menggunakan Sufian Anuar bergandingan dengan Sahil Suhaimi.

Pahang bakal kehilangan Ketua Pasukan Razman Roslan yang cedera selepas pulang dari tugasan negara. Situasi ini bakal menyaksikan Poyeng akan bergandingan dengan Stewart di bahagian pertahanan tengah dengan Ijan atau Aziz akan mengambil posisi bek kiri. Berita baiknya tiada pemain yang digantung perlawanan.

Barisan kemungkinan (pilihan tokgajah.com)

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top