Anda di sini
Laman Utama > Berita > Pahang bawa bekalan selesa ke Jalan Besar

Pahang bawa bekalan selesa ke Jalan Besar

Pahang membawa bekalan selesa ke Singapura apabila menewaskan Lions XII dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, Kuantan sebentar tadi.

Dengan barisan yang hampir sama, Zainal Abidin Hassan menurunkan Aziz Ismail di posisi bek kiri setelah Poyeng bermain di pertahanan tengah bergandingan dengan Stewart berikutan ketiadaan Ketua Pasukan Pahang Razman Roslan yang cedera setelah pulang dari tugasan negara.

Suren kembali ke posisi sayap setelah direhatkan dalam perlawanan sebelum ini menentang Pulau Pinang dan meletakkan R Gopinathan di bangku simpanan.

Pahang yang mengasak kubu Lions XII sebaik sahaja pengadil meniupkan wisel permulaan tidak menunggu lama apabila mendahului pada minit ke 6hasil jaringan Hafiz Kamal melalui sepakan percuma di bahagian kiri pintu gol pelawat setelah Surendren dijatuhkan.

Tokgajah sepatutnya dapat menambah dua lagi gol melalui Dickson dan Alex tetapi mereka gagal menterjemahkan peluang tersebut kepada gol. Manakala peluang terbaik Lions XII adalah melalui Zulfahmi pada minit-minit terakhir separuh masa pertama tetapi rembatannya berjaya ditepis keluar oleh Khairul Azhan.

Bersambung babak kedua, Pahang terus garang mencari bekalan selesa untuk dibawa ke Jalan Besar melalui kombinasi penyerang Dickson-Conti dan berjaya menambah gol kedua setelah hantaran lintang Alex ke Conti disudahkan dengan tenang oleh pemain import Argentina itu.

Selang 5 minit kemudian, Dickson Nwakaeme mencatat nama sebagai penjaring setelah memanfaatkan suasana kelam kabut di hadapan gol Lions XII untuk merembat ke penjuru gol menewaskan Izwan Mahbob menjadikan kedudukan Pahang selesa mendahului 3-0.

Pemain gantian R Gopinathan menambah derita pasukan dari Singapura itu dengan menjaringkan gol melalui rembatan kencang menewaskan Izwan dalam situasi satu lawan satu hasil usaha Alex yang merampas bola dari kaki pertahanan Lions XII.

Apabila permainan seakan-akan akan tamat dengan kedudukan 4-0, Safuwan menjaringkan gol saguhati melalui tandukan hasil hantaran jauh Madhu Montana yang menewaskan Azhan.

Perlawanan berkesudahan dengan Pahang bakal bertandang ke Stadium Jalan Besar pada hari Sabtu ini untuk perlawanan suku akhir kedua dengan membawa bekalan selesa 3 gol dan untuk bertemu pemenang antara Selangor atau Sarawak kelak.

Keputusan perlawanan lain :

Felda United 1-1 JDT

Kedah 1-1 PKNS FC

Sarawak 1-2 Selangor

 

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top