Anda di sini
Laman Utama > Berita > Ong panggil 5 pemain Pahang hadapi Palestin

Ong panggil 5 pemain Pahang hadapi Palestin

Ketua Jurulatih Sementara Skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee telah mengumumkan 23 pemain yang dipanggil untuk mewakili negara bagi menghadapi perlawanan keenam Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Palestin di Stadium Dura di Hebron, Palestin pada 12 November ini.

Menurut laman rasmi FAM, daripada 23 orang pemain yang dipanggil, 5 orang daripadanya ialah pemain Pahang iaitu pemain yang sama dipanggil ketika menentang Timor Laeste termasuk Ketua Pasukan Pahang Razman Roslan.

4 pemain yang lain ialah penjaga gol Khairul Azhan, pemain tengah Azammuddin Akil dan Hafiz Kamal serta pertahanan Matthew Davies.

Tidak mahu memanggil pemain yang baru melainkan menggantikan pemain yang cedera dan digantung, Kim Swee menyatakan bahawa sekarang bukan masa untuk bereksperimen kerana kumpulan pemain yang dipanggil sudah serasi dan masa terlalu singkat untuk membuat perubahan drastik.

“Saya membuat keputusan mengekalkan 21 pemain yang lain kerana bagi saya, ini bukan masanya untuk saya mencuba atau melakukan eksperimen. Kita berada dalam situasi yang mana tidak membenarkan saya untuk melakukan banyak perubahan dalam senarai pemain”.

“Jadi berdasarkan kombinasi yang sudah ada bermula dari perlawanan bertemu Arab Saudi (8 September lalu) diikuti perlawanan menentang Laos dan Timor Leste, saya lihat keserasian di kalangan pemain bertambah baik dan pada masa sama juga, masa terlalu singkat untuk saya melakukan perubahan drastik”.

Pemain akan mula melapor diri sehari selepas perlawanan Piala Malaysia pasukan masing-masing pada 4 dan 5 November ini dan pasukan akan bertolak ke Hebron pada 6 November.

Perlawanan keenam pasukan Malaysia menentang Palestin akan diadakan di Stadium Dura di Hebron, Palestin pada 12 November ini diikuti perlawanan ketujuh menentang UAE di Stadium Shah Alam pada 17 November yang akan berlangsung tanpa penonton.

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top