Anda di sini
Laman Utama > Berita > Hafiz kembali tersenarai, Razman tercicir

Hafiz kembali tersenarai, Razman tercicir

Pemain tengah Pahang, Hafiz Kamal kembali dipanggil ke skuad kebangsaan oleh Ketua Jurulatih sementara Dato’ Ong Kim Swee untuk menghadapi perlawanan persahabatan menetang Laos dan juga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Timor Leste pada Oktober depan.

Pemain Pahang lain yang turut tersenarai ialah Penjaga gol Khairul Azhan, Pemain sayap Azamuddin Akil dan juga Pertahanan Kanan Matthew Davies. Bagi Azhan dan Alex yang sudah biasa dipanggil walaupun semasa era Datuk K. Rajagobal dan Dollah Salleh tetapi tidak Matthew Davies yang merupakan panggilan keduanya untuk negara.

Davies, yang mempunyai darah Malaysia-Sabah antara kesebelasan utama Malaysia semasa perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi yang terhenti gara-gara gangguan penonton pada 8 September lalu.

Penyenaraian Hafiz Kamal menyaksinya ‘kembali’ ke skuad Kebangsaan setelah tersisih sebelum ini. Kali terakhir Hafiz dipanggil ke skuad kebangsaan adalah semasa Kejohanan Piala AFF tahun lalu.

Dato’ Ong Kim Swee dalam kenyataan di laman web FAM berkata Razman digugurkan kerana mengalami kecederaan.

“Selepas menilai semua pemain termasuk masalah kecederaan yang menimpa Razman Roslan dan Junior Eldstal, beberapa pertukaran pemain telah saya lakukan termasuk menyenaraikan semula Safee Sali yang mana prestasinya cukup baik kebelakangan ini.

“Memang agak sukar untuk saya menamakan senarai 23 pemain kali ini tetapi saya percaya pemain-pemain baharu yang dipanggil iaitu terdiri daripada mereka yang sebelum ini pernah bersama skuad kebangsaan dan skuad B-23 negara akan menguatkan lagi pasukan terutama di posisi tertentu. Bagi saya, inilah pemain terbaik untuk kita berdepan Timor Leste.

“Keputusan perlawanan dengan Laos tetap juga perlu diambil serius kerana ia perlawanan persahabatan A yang melibatkan ranking. Tapi apa yang lebih penting ialah saya mahu melihat keserasian serta kefahaman pemain mengenai taktikal yang akan cuba diterapkan.”

Razman yang mengalami kecederaan belakang sejak kembali dari panggilan skuad kebangsaan sudah terlepas kesemua perlawanan Pahang dalam Piala Malaysia dan juga perlawanan suku akhir Piala AFC menentang Istiklol FC.

Pemain yang terpilih akan melapor diri di Wisma FAM pada hari Ahad ini kecuali pemain JDT dan Perak. Malaysia akan menentang Laos di Bangkok pada 8 Oktober manakala perlawanan menentang Timor Leste akan diadakan di Dili pada 13 Oktober.

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top