Anda di sini
Laman Utama > Berita > Tok Gajah rebah di Bandaraya

Tok Gajah rebah di Bandaraya

Naib Juara Liga Perdana, Pulau Pinang mengejutkan Naib Juara Liga Super, Pahang apabila menang dengan jaringan 4-1 dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Bandaraya semalam.

Hadir tanpa kehadiran dua tonggak utama iaitu Matias Conti dan Razman Roslan yang cedera, Zainal mempertaruhkan barisan yang hampir sama semasa menang menentang PKNS Sabtu lepas. Nasril Nourdin masih mendapat kepercayaan mengawal gawang dengan Gopi kembali kesebelasan utama setelah disisihkan dalam perlawanan sebelum ini.

Pulau Pinang yang beraksi di hadapan penyokong sendiri ternyata garang dengan menyerang ke kubu Pahang sebaik sahaja tiupan wisel permulaan oleh pengadil Shamsudin Ibrahim dengan Pahang sekali sekala menyerang.

Peluang terbaik Pahang hadir melalui Dickson Nwakaeme yang merembat dari kanan pintu gol Pulau Pinang tetapi rembatan itu tersasar.

Stadium Bandaraya gamat seketika apabila Muhd Failee melepasi perangkap offside untuk menjaringkan gol pertama perlawanan menewaskan Nasril.

Tidak menunggu lama, Pahang berjaya mendapatkan gol penyamaan setelah Dickson tanpa dikawal mudah menanduk masuk bola ke gawang Pulau Pinang hasil hantaran lintang Zesh Rehman.

Hanya seminit babak kedua bersambung, Pulau Pinang kembali mendahulu sekali lagi melalui Mohd Failee yang menyambung sepakan percuma yang dilakukan oleh Gil Hon.

Pahang yang tersentak cuba mendapatkan jaringan penyamaan namun ketangkasan penjaga gol Pulau Pinang, Ramezey Che Ros menafikan beberapa percubaan Pahang termasuk 3 tandukan dari Dickson Nwakaeme.

Sebaliknya, Pahang dihukum dengan dua jaringan dalam masa 10 minit dari Mohd Azinee Taib dan tandukan  Alberto Gonzalves. Kedudukan kekal 4-1 hingga tamat masa penuh.

Kekalahan ini bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Pahang di takhta kumpulan dengan 6 mata manakala Pulau Pinang beranjak ke tangga kedua sebelum satu lagi perlawanan dalam kumpulan D hanya akan berlangsung hari Isnin kerana pertindihan venue.

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

One thought on “Tok Gajah rebah di Bandaraya

  1. permainan pahang hari tu terlalu relax and confident….mungkin itu puncanya…..nasril juga perlu lebih fokus dan byk belajaar lagi…..walauapa pun tok gajah tetap di hatiku…..pahang mampu menjadi juara!!!

Leave a Reply

Top