Anda di sini
Laman Utama > Pahang FA > [Piala Malaysia:Preview] Pulau Pinang vs Pahang

[Piala Malaysia:Preview] Pulau Pinang vs Pahang

Menang 2 perlawanan awal merupakan petanda positif skuad Pahang untuk meneruskan kelangsungan untuk mencipta hattrick bagi kejuaraan ini, namun ia bukanlah satu jaminan kepada pasukan Pahang untuk layak ke saingan suku akhir sekiranya baki 4 perlawanan ini tidak dipandang serius.

Perlawanan Sabtu ini merupakan perlawanan ketiga melibatkan kedua-dua pasukan ini selepas bertemu sebanyak 2 kali pada saingan suku akhir Piala FA April lalu. Pada pertembungan itu, Pahang layak dengan kiraan agregat 4-2 selepas berjaya mencatat kemenangan 2-0 di Kuantan dan berjaya mengikat kedudukan 2-2 di Stadium Bandaraya. Walaupun rekod memihak kepada pasukan Tok Gajah, namun saingan di pentas Piala Malaysia jelas berbeza tatkala pasukan-pasukan yang bertanding ingin mencipta sesuatu yang positif bagi saingan terakhir musim ini seterusnya memperbaiki pencapaian sebelum ini.

15 vs Penang
Oliveira Lobo turut memperkuatkan benteng Pulau Pinang.

Pulau Pinang yang berbekalkan motivasi selepas muncul naib juara liga perdana seterusnya layak beraksi di liga super musim hadapan jelas ingin memanfaatkan baki 4 perlawanan dengan melakar kemenangan seterusnya menghidupkan peluang untuk mencari slot ke suku akhir. Tewas pada perlawanan pertama ke atas PKNS di Stadium Bandaraya dan hanya mampu mencatat keputusan seri 3-3 ke atas PDRM di Shah Alam jelas mengecewakan peminat setia pasukan Harimau Kumbang ini. Walaupun kempunan untuk mengutip 3 mata di gelanggang lawan pada pertemuan Sabtu lepas, keputusan seri ini setidak-tidaknya bakal membangkitkan semangat para pemain untuk menebus kehampaan seterusnya mencipta kemenangan pertama bertemu Pahang nanti.

3 gol yang berjaya dicipta ketika menentang PDRM Sabtu lalu bagaikan petanda yang pasukan ini mempunyai strike force yang efektif seterusnya memberi amaran awal buat benteng pertahanan Pahang nanti. 2 gol jaringan oleh Mohd Azinee Taib berjaya mencuri perhatian kem pasukan Pahang untuk merantai pergerakan pemain ini yang banyak bergerak melalui flank pasukan. Gol kedua jaringan beliau melalui gerakan solo dari bahagian tengah dan berjaya melepaskan diri dari 3 kawalan pemain PDRM jelas membuktikan betapa pemain ini perlu diberi perhatian yang lebih.

Begitu juga peranan yang dimainkan oleh Mohd Faiz Subri dan Mazlizam Mohamad yang membentuk jentera serangan pasukan Pulau Mutiara ini. Kemasukan Alberto Goncalves dan Lee Gil Hoon pada separuh masa kedua permainan turut memberi impak dengan terhasilnya gol kedua Pulau Pinang melalui sepakan percuma. Namun begitu, ada perkara yang perlu diberi perhatian pada perlawanan ini terutamanya di bahagian pertahanan kerana setelah 2 perlawanan, pasukan ini sudah dibolosi sebanyak 6 kali.

Buat pasukan Pahang, 2 aksi berturut-turut di gelanggang lawan perlu ditempuhi dengan berhati-hati supaya tidak pulang dengan tangan kosong. Keupayaan Alex dibahagian hadapan sekali lagi ditagih untuk mencipta lebih banyak jaringan sambil mengharapkan R Surendran mengekalkan persembahan seperti perlawanan Sabtu lalu. Peralihan posisi Saifulnizam Miswan yang mengantikan Razman Roslan di lihat mampu menyerap asakan pihak lawan sambil mengharapkan persembahan yang semakin bertenaga bakal dijelmakan oleh Nasril Nourdin dibenteng terakhir pasukan Pahang agar rekod clean sheet dapat dilebarkan pada perlawanan ini nanti.

Kemenangan pada pertemuan ini bakal mencerahkan lagi laluan Pahang untuk mara ke peringkat suku akhir seterusnya tampil dengan lebih yakin dan selesa pada pusingan kedua nanti. Moga mata kesembilan mampu diraih Sabtu ini.

Barisan kemungkinan (Ramalan TGC):

Nasril

Davies-Stewart-Poyeng-Shahrizan

Surendran-Hafiz-Zesh-Gopi

Alex-Nwakaeme

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top