Anda di sini
Laman Utama > Berita > KJ kebudak-budakan – Zainal

KJ kebudak-budakan – Zainal

Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan nyata kecewa dengan sikap Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin yang menyatakan ingin menggantung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas beberapa isu yang sedang berlaku dalam badan induk bolasepak negara baru-baru ini lapor koresponden TGC Anuar Yahya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia menganggap Khairy terlalu kebudak-budakkan apabila mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana tindakan penggantungan akan menyebabkan implikasi yang lebih buruk kepada perjalanan bolasepak negara.

“Bagi saya yang sudah lama terlibat dalam bidang bolasepak berasa amat rimas apabila membaca dan melihat kenyataan beliau di media untuk menggantung FAM. Beliau pun tahu apa undang-undang dan syarat yang perlu diatasi dan dengan mengeluarkan kenyataan menggantung FAM ia adalah satu kelakuan kebudak-budakan. Jika beliau benar-benar mempunyai kuasa atau tujuan yang baik untuk bolasepak gantunglah FAM untuk seminggu ini dan kita akan lihat kesan baiknya. Jika menjadi bertambah baik, saya dan rakan sejawat akan terima tindakan penggantungan ini.

“Khairy sebagai Menteri KBS sepatutnya tahu untuk menggunakan saluran dan undang-undang yang betul bukan hanya terus memberi publisiti murahan mengeluarkan kenyataan sedemikian di media dan memalukan kami sebagai seorang yang bertugas dan bertungkus lumus dalam bolasepak. Kami mahu menteri yang membaiki keadaan dan memberi dorongan bukan sahaja untuk bolasepak malahan sukan yang lain.

Sedangkan kita pun tahu yang beliau pernah menjawat jawatan tertinggi di FAM dan juga pernah mewujudkan pasukan MyTeam pada masa dulu tetapi semuanya gagal. Sepatutnya beliau mencari sesuatu yang lebih baik untuk membangkitkan bolasepak bukan terus menerus mengeluarkan kenyataan yang memalukan sebegitu.”

KBS melalui kenyataan Menterinya mengancam untuk menggantung FAM berikutan kemerosotan prestasi pasukan negara yang kemuncanya tewas memalukan 0-10 di tangan UAE minggu lepas. Kekecohan di Shah Alam semasa perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi memburukkan lagi keadaan sehingga FAM mendapat kecaman dari pelbagai pihak.

Seperti yang umum tahu Indonesia telah digantung keahliannya dalam FIFA sehingga kini dek kerana campur tangan kerajaan mereka dalam PSSI. Kesannya, liga mereka telah digantung dan pasukan kebangsaan mereka tidak dapat menyertai Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 yang sedang dijalankan sekarang. Untuk rekod sudah 4 perlawanan kelayakan diadakan sehingga setakat ini dan Indonesia masih belum menyertai satu pun perlawanan dalam kumpulan.

 

 

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top