Anda di sini
Laman Utama > Pahang FA > [Piala AFC: Suku Akhir 1] Istiklol FC vs Pahang

[Piala AFC: Suku Akhir 1] Istiklol FC vs Pahang

Saingan kejuaraan Piala AFC 2015 kini telah memasuki fasa 8 terbaik untuk mencari slot ke separuh akhir bagi kejuaraan kompetitif diperingkat rantau Asia ini. Pahang akan berkunjung ke Republican Central Stadium, Dushanbe, Tajikistan bagi menghadapi perlawanan pertama bertemu Istiklol FC yang juga merupakan juara kumpulan C selepas mengumpul 11 mata dengan mencatatkan 3 kemenangan, 2 seri dan satu kekalahan.

Istiklol (1)

Salah satu dari 3 kemenangan yang berjaya dicatat sepanjang melalui kempen diperingkat kumpulan adalah kemenangan manis ke atas pasukan Qadsia SC (Kuwait) yang merupakan juara bertahan kejuaraan ini pada tahun lepas. Selain itu, Istiklol juga berjaya mengejutkan finalist kejuaraan musim lalu iaitu Arbil (Iraq) dengan kedudukan 0-0 pada perlawanan yang berlangsung di Doha. Satu perkara yang menarik bukan?

Reputasi besar

Istiklol yang merupakan satu-satunya pasukan dari negara itu yang telah berjaya mara sejauh ini apabila berjaya menundukkan pasukan dari Syria, Al Wahda yang juga merupakan finalist kejuaraan ini pada tahun 2004. Kemenangan dramatik melalui penentuan sepakan penalti itu berjaya dimenangi Istiklol (4-2) selepas keputusan permainan terikat dengan kedudukan 1-1 pada perlawanan yang diadakan di hadapan ribuan peminat setianya di Dushanbe, Tajikistan.

dalilov
Manuchekhr Dzhalilov

Antara watak penting pasukan ini terarah kepada penjaring terbanyak skuad ini iaitu pemain yang memakai nombor 63, Dzhalilov dengan meledak 4 gol sepanjang kejohanan setakat ini. Pemain ini juga merupakan pemain kebangsaan Tajikistan yang sedang membawa cabaran negaranya dalam mengharungi kelayakan Piala Dunia 2018 dan berjaya menyumbangkan satu gol ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Jordan pada perlawanan kelayakan kumpulan B, Jun lalu.

Selain Dzhalilov, ketua pasukan, Dilshod Vasiev, penjaga gol iaitu Alisher Tuychiev, Khurshed Makhmudov, Nuriddin Davronov dan Fatkhullo Fatkhuloev turut berada dalam skuad utama Tajikistan yang membawa cabaran yang sama ketika ini. Pasukan ini turut diperkuatkan dengan beberapa pemain import antaranya pemain dari Ukraine iaitu Petro Kovalchuk yang berada di posisi pertahanan dan seorang lagi pemain dari Sepanyol iaitu Manuel Bleda Rodriguez. Benteng terakhir pasukan ini turut diperkuatkan dengan tenaga import dari Serbia iaitu Nikola Stosic yang telah menjadi watak penting membawa pasukan ke peringkat suku akhir selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti (penentuan melalui sepakan penalti) selepas kedudukan terikat 1-1 ketika menentang Al Wahda pada pertemuan pusingan 16 terbaik.

Untuk rekod, pasukan Harimau Malaya pernah berkunjung ke Dushanbe untuk menentang skuad kebangsaan Tajikistan pada Ogos 2014 sebagai persediaan menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki, namun tewas 4-1 dan gol tunggal skuad kebangsaan dijaringkan oleh Mohd Amri Yahya pada separuh masa pertama permainan melalui sepakan penalti.

IMG_3491
Skuad Pahang menjalani latihan penyesuaian di gelanggang lawan yang turut menggunakan rumput sintetik.

Buat pasukan Pahang, berada dalam kelompok 8 pasukan terbaik bagi kejohanan ini sememangnya boleh dijadikan motivasi untuk mencipta kejutan dalam kejohanan kompetitif ini. Keputusan yang memihak pasukan Tok Gajah ketika permasalahan yang timbul pada aksi peringkat kalah mati tempoh hari seharusnya dibuktikan dengan memberikan persembahan yang terbaik bagi menghadapi perlawanan secara timbal balik ini.

Walaupun terpaksa melalui perjalanan yang agak jauh sambil tempoh rehat yang tidak mencukupi selepas menamatkan saingan peringkat liga domestik seharusnya tidak boleh dijadikan faktor utama untuk tidak mempamerkan persembahan yang mantap. Perancangan taktikal yang sesuai seharusnya telah dirangka oleh pengendali pasukan bagi menghadapi situasi ini untuk sekurangnya-kurangnya mencatat keputusan seri di Dushanbe sebelum perhitungan terakhir ditentukan di Kuantan pada 16 September nanti.

Moga persembahan yang positif terhasil di sana nanti. Ayuh TokgajahKu, pulihkan semangatmu, kami sentiasa teguh bersamamu!

#teruspositif

Ramalan kesebelasan utama

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top