Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Selepas 22 Ogos…….

Selepas 22 Ogos…….

Kecewa, itulah perasaan yang dialami tika ini selagi bergelar penyokong setia Tok Gajah. Manakan tidak, tatkala peluang untuk merampas kejuaraan semakin hampir, namun kekalahan ke atas Terengganu di gelanggang lawan bagai merentap emosi para pemain dan jutaan penyokong setianya untuk menamatkan penantian 11 tahun ini. Ketepikan barang seketika permasalahan dikala ini kerna ada satu lagi cabaran yang perlu digalas bagi mengekalkan kelangsungan untuk membina platform yang kukuh bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara.

Pencapaian yang dikira baik sejak kebangkitan yang ditunjukkan oleh skuad Tok Gajah sejak 2012 seharusnya dibanggakan dan sejujurnya perlu diangkat tatkala berbekalkan skuad yang sedia ada. Selepas terjerumus dalam saingan liga perdana pada tahun 2011 (untuk musim 2012) selepas hanya mampu menduduki tempat ke 13 saingan liga super, Pahang lantas mengatur strategi kebangkitan dan hasilnya berjaya memberikan saingan sengit buat pasukan ATM untuk menduduki tangga kedua seterusnya dinobat selaku naib juara liga perdana 2012.

pix_gal0
Aksi play-off Liga Super pada tahun 2012

Kemenangan ke atas Kedah di Stadium Hang Jebat adalah titik kebangkitan yang sebenar apabila berjaya kembali ke saingan liga super pada tahun 2013 dan berjaya mengotakan janji untuk berada di liga perdana bagi satu musim sahaja. Penampilan semula pasukan Tok Gajah dalam liga super bagi musim 2013 ternyata mengejutkan apabila berjaya menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan mengumpul 35 mata dan hanya dibezakan 1 mata dibelakang pasukan Kelantan yang baru segar dengan kejuaraan treble bagi musim 2012. Satu pencapaian yang baik bukan, berbekalkan dengan skuad yang hampir sama musim 2012?

CONTI-300x197
Conti meraikan jaringan di Final PM13

Kebangkitan itu tidak ternokhtah di situ apabila Pahang berjaya mengejutkan pemerhati bola sepak tanahair dengan mengukir sejarah menamatkan penantian 21 tahun dengan menjulang Piala Malaysia buat kali ke 3 lantas meletakkan Pahang kembali berada dalam kelasnya yang tersendiri dan bagaikan membalas kesetiaan penyokongnya yang teguh berdiri selama ini. Jaringan penutup musim 2013 oleh Matias Conti pada perlawanan akhir itu dibuka semula oleh pemain yang sama apabila berjaya menewaskan Lions XII untuk merangkul kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah bagi musim 2014. Musim 2014 ternyata lengkap buat Pahang dengan meraih 3 piala bagaikan meletakkan prestasi di kemuncak bagi saingan domestik.

3 piala
3 Piala pada 2014

Musim 2015, pencapaian dikala ini sebagai naib juara liga super masih boleh dibanggakan dan sekurangnya-kurangnya memperbaiki pencapaian musim lalu apabila berada di kedudukan ketiga dengan meraih 37 mata. Walaupun pahit untuk ditelan, namun itulah bola sepak, sesuatu keputusan yang sememangnya sukar diduga. Setidak-tidaknya, Pahang berjaya memberi saingan yang amat sengit di mana kejuaraan sebenar liga super hanya ditentukan pada perlawanan yang terakhir.

12 Pahang vs Sarawak
Barisan yang hampir sama mengharungi jadual padat

Di samping itu, berbekalkan pemain yang sedia ada, Pahang mampu mengharungi jadual perlawanan yang agak padat terutama sepanjang April apabila memenangi 5 perlawanan dari 7 aksi di peringkat liga, piala FA dan piala AFC serta mampu melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala FA walaupun gagal untuk mempertahankannya. Bukan mahu mendabik dada, pencapaian Pahang ketika itu yang merupakan pasukan tunggal yang meneruskan cabaran untuk ketiga-tiga kejuaraan (liga super, piala FA dan piala AFC) adalah dikira baik dan selayaknya diberikan pujian tatkala pasukan bergelut dengan kecederaan pemain utama.

AFC Cup
Piala AFC menjadi fokus selepas ini

Namun begitu, selepas 22 Ogos, ada lagi misi dan perjalanan yang masih belum selesai. Perlawanan suku akhir pertama piala AFC menentang Istiklol FC pada 26 Ogos perlu dipandang serius walaupun moral para pemain masih terpalit kekecewaan. Selaku pemain professional dan memilih bola sepak sebagai karier, mahu tidak mahu cabaran ini harus ditelan dan semuanya akan terbalas di saat anda berada di kemuncak nanti.  Pesan ilmuan terkenal iaitu Pak Hamka, Janganlah takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Yang takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah”.

Pesan ilmuan ini lagi, jikalau perahunya telah ia kayuh ke tengah, ia tidak boleh bersurut pulang, meskipun bagaimana besar gelombang, biarkan kemudi patah, biarkan layar robek,biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, ia lebih mulia baginya daripada membalik haluan pulang. Justeru, selagi adrenalin bola sepak mengalir ke dalam jiwa anda tidak kiralah sebagai pemain hatta sebagai seorang penyokong, kita yang memilih jalan ini maka habiskanlah perjuangan demi memartabatkan sukan ini diperingkat yang lebih tinggi agar ianya kekal dalam ingatan zaman berzaman.

Sekian.

#teruspositif

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top