Anda di sini
Laman Utama > 100plus Liga Premier > Kuantan kekal di Liga Perdana 2016

Kuantan kekal di Liga Perdana 2016

Setelah sekian lama terperosok di dasar liga, Kuantan FA mengejutkan peminat bola sepak negara apabila menumbangkan salah satu pesaing kejuaraan, T-Team 2-1 di Stadium Darul Makmur sebentar tadi. Keputusan ini menjadikan Kuantan FA akan terus bersaing dalam Liga Perdana musim depan. T-Team yang menghuni tangga kedua liga sebelum perlawanan begitu terdesak untuk mencari kemenangan sambil mengharapkan Pulau Pinang tercicir mata.

Kuantan FA menceriakan peminat mereka apabila mendahului pada minit ke 17 hasil tandukan pemain pinjaman dari Pahang, Abdul Malik Mat Ariff ekoran keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol T-Team.

Pemain import Serbia, Milan Purovic menambah gol kedua pada minit ke 23 selepas menanduk masuk sepakan percuma Tarik El-Janaby menewaskan penjaga gol T-Team, Wan Azraei Wan Teh.

Tersentak ketinggalan dengan 2 gol, T-Team yang semakin terdesak dan kelihatan tertekan apabila serangan yang diatur gagal disudahkan oleh barisan serangan mereka.

Kesungguhan T-Team terbalas apabila ketua pasukan, Mazuki Yusof menanduk masuk gol semangat pada minit ke 55 hasil tendangan sudut.

Sekalipun T-Team menguasai separuh masa kedua, anak buah Zulhamizan Zakaria gagah bertahan sehingga tamat perlawanan untuk mengesahkan penyertaan di Liga Perdana musim depan.

Zulhamizan yang ditemui selepas perlawanan amat gembira dengan keputusan ini. Pesan beliau kepada anak-anak buahnya untuk fokus dalam perlawanan ini tanpa memikirkan keputusan perlawanan melibatkan Kuala Lumpur ternyata membuahkan hasil.

Saya juga menasihatkan para pemain saya agar tidak terlalu memandang tinggi keupayaan skuad T-Team walaupun mereka pernah menewaskan kami dengan jaringan besar di Kuala Terengganu.

Tips itu nyata menyalakan semangat The SeaGulls yang sudah tampak sudah melupakan igauan ngeri dibelasah T-Team 5-0 pada pusingan pertama di Kuala Terengganu.

Leave a Reply

Top