Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Terus positif!

Terus positif!

Selepas mengharungi 2 perlawanan dalam tempoh 4 hari tanpa mengutip mata maksimum ternyata menyulitkan laluan Pahang untuk merampas kejuaraan liga dari penyandang juara JDT musim ini. Deretan peluang seawal 8 minit pertama permainan gagal diterjemahkan kepada jaringan sekaligus menghadirkan tekanan buat para pemain untuk memenangi perlawanan menentang Felda United Rabu lalu.

Berbaki satu lagi perlawanan Sabtu ini, JDT ternyata mempunyai kelebihan untuk mengulangi pencapaian musim 2014 apabila berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan menundukkan Perak 4-1 sekaligus memperbaiki perbezaan gol kepada 19 berbanding 16 sebelum ini.

Buat pasukan Pahang, keputusan seri 2-2 Rabu lalu menolak pasukan kepada kedudukan kedua liga dengan mengutip 44 mata sambil jumlah perbezaan gol kekal kepada 16. Namun begitu, secara matematiknya, Pahang masih berpeluang seandainya berjaya mencipta kejutan di Kuala Terengganu sambil mengharapkan keputusan di Selayang tidak memihak kepada pasukan Harimau Selatan.

Senario kedua, Pahang masih berpeluang menjulang kejuaraan seandainya JDT sekadar berkongsi satu mata bertemu Felda United namun skuad Tok Gajah perlu memenangi perlawanan terakhir ini dengan memiliki defisit gol yang tinggi. Untuk lebih spesifik, kedudukan jumlah perbezaan gol (GD) adalah 19-16 dan Pahang perlu mencipta kemenangan sekurang-kurangnya 0-3 di Kuala Terengganu untuk memberi kelebihan GD menjadi terikat kepada 19. Namun, penentuan kejuaraan akan dinilai melalui jumlah jaringan terbanyak (selepas menilai GD) di mana Pahang dilihat mempunyai sedikit kelebihan berbanding JDT.

Walaupun sukar namun tidak mustahil. Apa-apapun keputusan yang dicatat Rabu lalu, para pemain perlu kekal positif dan usah berputus asa kerana kejuaraan liga hanya akan diputuskan pada tanggal 22 Ogos selepas aksi 90 minit berakhir nanti. Lakukan yang terbaik pada perlawanan terakhir Sabtu ini dan moga ada sinar buat kita nanti.

Ayuh Tok Gajahku, perjuangan belum selesai. Jadikan perjuangan dan pergorbanan mu bakal di ingati sepanjang zaman.

#TERUSPOSITIF

 

 

 

 

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top