Anda di sini
Laman Utama > Artikel > [MSL]22 Ogos penentuan juara liga super!

[MSL]22 Ogos penentuan juara liga super!

Selepas kedua-dua pesaing kejuaraan liga super gagal mencipta kemenangan pada perlawanan yang ke 20 Sabtu lepas, kini persaingan kejuaraan semakin sengit dan akan hanya ditentukan melalui perlawanan yang terakhir pada 22 Ogos ini seterusnya menetapi ramalan awal para pemerhati bola sepak tanah air yang menjangkakan saingan liga bagi musim ini begitu kompetitif buat 2 pasukan iaitu JDT dan Pahang.

Kedudukan liga selepas 20 perlawanan menyaksikan gergasi dari pantai timur, Pahang kembali merampas kedudukan liga selepas berjaya mengikat pasukan Perak 1-1 di Ipoh sambil JDT tewas 4-1 ke atas Kelantan di Kota Bharu. Walaupun kedudukan terikat dengan 43 mata dan jumlah perbezaan gol juga terikat kepada 16, namun jumlah jaringan Pahang melebihi JDT seterusnya memberikan sedikit kelebihan buat Tok Gajah untuk memimpin carta liga.

Persaingan kejuaraan liga musim ini seakan-akan mirip musim 2014 apabila kejuaraan liga melibatkan JDT dan Selangor hanya ditentukan pada perlawanan terakhir dan menyaksikan JDT dinobat selaku juara apabila berjaya menewaskan Sarawak 0-1 di Kuching dan pencabar kejuaraan hanya mampu seri 2-2 bertemu PKNS di Shah Alam. Musim 2014 memperlihatkan JDT unggul menjuarai liga dengan mengumpul 44 mata mengatasi pencabarnya Selangor dengan kelebihan 2 mata.

Baki 2 lagi perlawanan liga sememangnya ditunggu-tunggu buat pemerhati dan peminat bola sepak tanah air bagi menyaksikan pasukan manakah yang akan dimahkotakan kejuaraan liga musim ini. Rabu ini Pahang akan melayan kunjungan Felda United dan akan berkunjung ke Kuala Terengganu pula Sabtu ini bagi menentukan kejuaraan liga. Manakala JDT akan bertemu Perak di Larkin dan akan berkunjung ke Selayang untuk bertemu Felda United.

Buat pasukan Pahang, pertemuan baki 2 perlawanan ini sudah pasti getir apabila Felda United dan Terengganu masih lagi berpeluang untuk berada di tangga ketiga liga. Justeru, pertemuan melibatkan dua pasukan ini perlu diberikan tumpuan 100% kerana masing-masing punyai objektifnya tersendiri selain ingin menebus dendam kekalahan pada pertemuan pusingan pertama dahulu apabila Felda United tewas 0-1 kepada Pahang dan Terengganu tewas 3-2 di Kuantan pada 2 Mei yang lalu.

Jikalau disingkap pertemuan melibatkan kedua-dua pasukan pada perlawanan minggu lepas, JDT ternyata mempunyai kelebihan, namun kelebihan kini berpihak kepada skuad Tok Gajah selepas mengimbas senario pada perlawanan minggu ini. Justeru, kelebihan yang ada perlu dimanfaatkan dengan mencipta kemenangan berbaki 2 perlawanan ini namun semuanya akan terjawab pada 22 Ogos ini di mana pasukan yang betul-betul konsisten dan dapat memperbaiki jumlah perbezaan gol (sekiranya berkongsi kedudukan) akan menjamin kejuaraan liga super 2015.

Selamat berjuang kepada kedua-dua pasukan!

 

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top