Anda di sini
Laman Utama > Artikel > [Liga Super: Analisis] Mampukah Pahang tamatkan penantian 11 tahun?

[Liga Super: Analisis] Mampukah Pahang tamatkan penantian 11 tahun?

pix_gal0Gol jaringan Jalaludin Jaafar pada penentuan sepakan penalti di antara Pahang dan Kedah bagi menentukan tiket terakhir untuk layak ke liga super pada tahun 2013 masih lagi kekal dalam ingatan penulis yang ketika itu berkesempatan untuk menyaksikan perlawanan play-off yang telah diadakan di Stadium Hang Jebat pada tahun 2012 yang lalu. Ironinya, wira Pahang ketika itu masih lagi kekal dalam skuad 2015 ini bagaikan menanti detik yang bersejarah bagi mengulangi kejuaraan yang dicipta pada 11 tahun yang lalu. Namun begitu, impian untuk mengulangi sejarah 2004 seterusnya melengkapkan episod kebangkitan Tok Gajah yang dicipta sejak 2013 mungkin akan terjejas seandainya baki 4 perlawanan liga selepas ini tidak memihak kepada pasukan Pahang.

Momentum kemenangan dalam aksi liga yang berjaya dicipta sepanjang April akhirnya menemui titik noktah apabila tewas kepada pasukan Lions XII 4-2 di Jalan Besar Sabtu lepas bagaikan menyentap impian pasukan dan peminat setianya untuk merampas kejuaraan liga dari JDT1 bagi edisi kali ini. Kemenangan tipis JDT ke atas ATM 0-1 di Paroi sudah cukup meletakkan pasukan Harimau Selatan ini dipersada liga seterusnya memberi tekanan buat anak buah Zainal Abidin Hassan untuk memahat satu lagi rekod kejuaraan. Kedudukan liga kini selepas 18 perlawanan menyaksikan JDT1 unggul dihadapan dengan mengutip 40 mata dan disaingi hebat pencabarnya Pahang dengan 39 mata sambil rata-rata peminat bolasepak tanahair memberi gambaran awal persaingan takhta liga kini tertumpu buat 2 pasukan ini.

Pahang_01112014_620_426_100

Untuk rekod, jumlah mata kejuaraan liga super pada tahun 2014 merekodkan 44 mata yang dimenangi JDT1 dan 43 mata pada tahun 2013 yang dimenangi Lions XII. Secara puratanya, jumlah mata kejuaraan liga adalah 43.5 mata bagi 2 tahun kebelakangan ini. Namun, melihat senario selepas 18 perlawanan dan berbaki 4 perlawanan liga bagi edisi kali ini, penulis menjangkakan jumlah mata kejuaraan liga super tahun ini akan melebihi rekod edisi 2013 dan 2014 dan mungkin akan mencipta rekod baru apabila dijangkakan akan mencecah kepada 48 mata untuk dinobatkan sebagai juara mutlak liga super 2015.

Hujah ini berpandukan kepada perbezaan mata yang sangat rapat di antara JDT1 dan Pahang (40/39 mata) serta masing-masing mungkin tidak akan melepaskan peluang untuk menewaskan pasukan lawan masing-masing berbaki 4 perlawanan ini bagi menjamin kejuaraan liga. Berikut merupakan baki 4 perlawanan yang bakal diharungi oleh JDT1 dan Pahang sebelum tirai liga super melabuhkan tirainya musim ini:

1. JDT1 vs Lions XII            1. Pahang vs Kelantan

2. Kelantan vs JDT1            2. Perak vs Pahang

3. JDT1 vs Perak                  3. Pahang vs Felda United

4. Felda United vs JDT1     4. Terengganu vs Pahang

 The_first_team_won_super_league

Buat pasukan Pahang, kekalahan 4-2 baru-baru ini perlu dijadikan iktibar dan misi untuk mengulangi sejarah 2004 harus diteruskan dengan syarat 4 perlawanan berbaki ini seharusnya dimanfaatkan dengan kemenangan. DNA perjuangan mirip edisi liga super pertama tahun 2004 perlu diulangi tika ini apabila ketika itu Pahang berjaya merangkul kejuaraan dengan meraih 47 mata (selepas 21 perlawanan) mengatasi pencabar terdekatnya iaitu Public Bank dengan mengutip 38 mata.

Ironinya, 3 watak penting yang membantu Pahang mencipta kejuaraan 2004 masih kekal dalam pasukan ketika ini. Khidmat dan pengalaman berharga buat Zainal Abidin Hassan, Jalaludin Jaafar dan Shahrizan Salleh amatlah ditagih di saat ini bagi meneruskan kelangsungan misi untuk mengulangi sejarah 2004.

Ayuh Tok Gajahku, misi 12 mata! Moga kejuaraan milik Pahang.

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top