Anda di sini
Laman Utama > Berita > [Piala Presiden]Masih dahagakan gol, Faizal berazam dapatkan bekalan selesa

[Piala Presiden]Masih dahagakan gol, Faizal berazam dapatkan bekalan selesa

Bekalan gol selesa menjadi keutamaan Ketua Pasukan Piala Presiden Pahang, Mohd Faizal Mohd Razi apabila bakal melayan kunjungan skuad PDRM dalam perlawanan suku akhir Piala Presiden di Kuantan pada petang ini.

Beliau yang dihubungi semalam mengakui rakan sepasukannya bersedia sepenuhnya dan bersemangat untuk menghadapi Juara kumpulan B itu walaupun hanya ada kurang seminggu untuk berlatih setelah kembali dari cuti menyambut Hari Raya.

Walaupun sudah mencetak 21 gol sepanjang musim ini, Faizal masih belum puas dan ingin menambah koleksi golnya sekaligus membantu pasukan untuk terus mara hingga ke perlawanan akhir. Untuk rekod, skuad Pahang merupakan finalist pada musim lepas namun tewas kepada pasukan Perak dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Darulmakmur.

Mendapat suntikan semangat apabila dipilih oleh Ketua Jurulatih Harimau Muda, Razip Ismail untuk menjalani pemilihan skuad itu bagi menghadapi kejohanan Piala Newspaper di Vietnam, Faizal akan menggunakan segala pengalaman yang diperolehi semasa ujian pemilihan itu untuk membantu skuad Piala Presiden pada peringkat kalah mati ini.

Saya amat terkejut apabila terpilih ke pemilihan Harimau Muda kendalian Coach Razip Ismail. Panggilan ini memberi saya satu semangat untuk mempamerkan aksi yang mantap supaya dapat menambat hati Coach Razip nanti. Sekiranya terpilih saya berazam untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bersaing dengan rakan-rakan lain yang memang sudah sedia ada dalam skuad.

Mengakui belum menerima tawaran dari mana-mana pasukan memandangkan ini adalah tahun terakhirnya untuk bermain di peringkat bawah 21 tahun sebelum melepasi had umur, beliau tidak mahu memikirkan lagi perkara ini dan hanya hendak fokus dalam membantu Pahang ada musim ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Jurulatih Piala Presiden Azaruddin Aziz, pegawai pasukan dan rakan rakan sepasukan yang memberi bantuan dan tunjuk ajar kepada saya dan juga tidak lupa ahli keluarga yang tidak putus memberi sokongan dan nasihat. Tanpa mereka saya tidak mungkin berada di tahap ini.

Faizal dan rakan-rakan menyeru kepada semua peminat untuk hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada beliau dan rakan-rakan pada petang ini. Sokongan dari peminat bagi beliau boleh menaikkan semangat pasukan memandangkan PDRM bukan calang-calang pasukan kerana telah menjuarai kumpulan B mengatasi pasukan lain seperti Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

Pahang akan menentang PDRM di Stadium Darulmakmur pada petang ini (25 Julai 2015) sebelum bakal berkunjung ke venue lawan pada 1 Ogos nanti. Perlawanan di tempat lawan juga berlangsung pada waktu petang di Padang Utama PULAPOL.

Leave a Reply

Top