Anda di sini
Laman Utama > Berita > [Liga Super]Pahang terajui liga di pusingan pertama

[Liga Super]Pahang terajui liga di pusingan pertama

Pahang memulakan langkah kanan setelah liga berehat lama dengan menewaskan pasukan di tangga kedua PDRM 5-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Zainal Abidin Hassan menyenaraikan pasukan terkuat dengan dua tonggak Sukan SEA D Saarvindran dan Matthew Davies antara di dalam kesebelasan utama. Azammuddin tidak dapt diturunkan kerana digantung akibat menerima kad merah pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Kota Bharu yang lalu. Sekali lagi, gandingan Hafiz-Zesh kembali menjadi pertaruhan di posisi tengah setelah cemerlang dengan rekod tanpa kalah sehingga kini.

Pahang tidak menunggu lama apabila D Saarvindran menceriakan penyokong pelawat dengan menjaringkan gol pertama seawal minit ke 6 setelah mengelecek beberapa pemain PDRM sebelum merembat melepasi penjaga gol PDRM Willfred Jabun. Gol itu merupakan gol pertamanya untuk Pahang dalam kempen Liga Super.

Tersentak dengan jaringan itu, PDRM kembali mengatur serangan melalui keempat-empat pemain import mereka yang diletakkan di bahagian serangan tapi tetap gagal menembusi barisan pertahanan Pahang yang diketuai oleh Ketua Pasukan Razman Roslan.

Sebaliknya, Pahang menambah derita anak buah Azman Adnan apabila menjaringkan gol kedua melalui Matias Conti yang menyempurnakan bola muntah hasil percubaan susulan beliau sendiri dari tendangan percuma Hafiz Kamal.

Sejurus sebelum tamat separuh masa pertama, Pahang menambah gol juga melalui Matias Conti setelah berjaya melepaskan diri dari perangkap ofside pertahanan PDRM. Kedudukan 3-0 kekal sehingga pemain berhenti rehat.

Babak kedua bersambung dengan terus PDRM mengasak untuk mencari gol bagi merapatkan kedudukan. Hasilnya, mereka berjaya mendapat gol setelah pertahanan Pahang Saifulnizam tertanduk ke gawang sendiri setelah berlaku suasana kelam kabut di hadapan pintu gol Pahang apabila Khairul Azhan sudah mati langkah.

Dickson Nwakaeme menjadikan kedudukan 4-1 apabila merembat bola muntah hasil sepakan percuma D Saarvindran yang gagal di tangkap kemas oleh Willfred Jabun. Matias Conti melengkapkan hatrik pertamanya pada musim ini dengan menanduk mudah bola hasil hantaran Zesh Rehman yang menerima bola dari sepakan sudut oleh Hafiz Kamal.

PDRM memperolehi sepakan penalti pada minit ke-77 setelah Ali Ashfaq dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pertahanan Pahang, Razman Roslan. Dramane Traore yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan Khairul Azhan. Pengadil kemudiannya menganugerahkan sekali lagi  penalti kepada PDRM juga setelah pemain import dari Maldives, Ashfaq Ali dijatuhkan pula oleh Matthew Davies. Sekali lagi Traore mudah menewaskan Khairul Azhan untuk menjadikan kedudukan 3-5 kekal hingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Kredit foto : www.pahangfa.com

Keputusan lain :

Felda United 4 Selangor 4

Terengganu 0 JDT 1

Sarawak 1 Perak 1

Lions 3 ATM 1

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top