Anda di sini
Laman Utama > Futsal Pahang > [LFK]Berakhir sudah perjuangan Pahang

[LFK]Berakhir sudah perjuangan Pahang

Sekalipun gagal melayakkan diri ke Grand Final Liga Futsal Kebangsaan 2015, skuad Pahang menutup saingan musim ini dengan membenam tuan rumah, Sabah 4-3 pada Ahad lepas. Episod malang skuad kendalian Coach Yazeed ini terlebih dahulu mengesahkan kegagalan menempah slot 8 terbaik apabila tewas 4-2 kepada Selangor MPSJ pada Jumaat.

Rangkuman Musim 2015

2015-05-29 00.28.36
Sumber : FAM

Hanya 7 kemenangan dari 22 perlawanan dicatat oleh Pahang dalam saingan musim ini. Menjaringkan 55 gol, namun jumlah bolos yang banyak, 70 bolos memberi isyarat betapa skuad ‘muda’ Pahang ini mudah diratah pasukan yang lebih berpengalaman. Dengan jumlah 25 mata dikutip (sekadar purata 1 mata bagi 1 perlawanan), Pahang menghuni tangga ke-9, 8 mata di belakang Selangor, sekali gus terlepas slot automatik ke LFK2016 dan Grand Final tahun ini. Jika diumpamakan kepada Liga Bola Sepak, bolehlah dikatakan kita kini ‘tersingkir’ ke liga bawahan bersama Sabah, Sabah Quilmess dan KL Petaling Putra.

Cabaran dan Kejayaan

FB_IMG_1425787089057

Bermula dengan penghijrahan 5 pemain utama skuad LFK2014 ke Melaka United, episod malang Pahang berterusan dengan hanya mampu mempertaruhkan majoriti pemain dari ‘Liga Haram’ dan tiada pengalaman beraksi di perlawanan bertaraf kebangsaan menggunakan format FIFA. Lebih memeritkan lagi, persiapan yang serba kekurangan, isu tunggakan gaji dan kebajikan pemain, serta kecederaan beberapa pemain tonggak menambahkan rencah punca Pahang bakal beraksi buat pertama kalinya dalam pusingan kelayakan pada tahun hadapan.

Namun disebalik segala episod malang ini, dalam serba kekurangan, Pahang masih berjaya melahirkan beberapa pemain berbakat. Akmaarulnizam Idris (‘Airback’) kini dalam senarai pelatih skuad futsal negara, Sheikh Falah, Muhammad Sabri, dan Muhammad Akhmal (Weger) pula kian menonjol sepanjang musim. Dengan tidak berbekal gaji atau elaun yang mewah seperti kelab lain, pengorbanan semua pemain ‘muda’ dalam pasukan Pahang, harus dipuji dan diberi penghargaan. Mereka beraksi hanya kerana Pahang Darul Makmur.

Pengajaran 2015 dan Persiapan 2016

FB_IMG_1431621618007

Futsal di negara ini sering kali di’anak tiri’kan terutama pasukan yang bernaung dibawah FA negeri. Disebabkan itu, muncul kelab dan penaja besar membentuk pasukan dengan menawarkan elaun dan gaji lumayan, bahkan ada pula yang menawarkan pekerjaan. Oleh sebab itu, pemain muda berbakat yang beraksi untuk pasukan negeri sering kali dipikat kelab-kelab ‘besar’ ini. Isu tunggakan gaji dan kebajikan pemain terabai seharusnya dijadikan pengajaran buat pasukan negeri yang bertanding. Jika hal ini tidak diatasi, tidak mustahil skuad negeri terus ketandusan pemain untuk beraksi pada musim hadapan kerana pemain sudah muak dengan karenah pengurusan.

Untuk persediaan 2016, Pahang yang akan beraksi dalam pusingan kelayakan buat pertama kalinya, wajib melayakkan diri ke pusingan akhir. Untuk rekod, Pahang tidak pernah terlepas beraksi dalam LFK sejak diperkenalkan pada 2004. Pemilihan pemain dan pengurusan pasukan harus dibuat lebih terperinci dan berintegriti bagi menjamin kejayaan. Sudah tibanya kita memecah monopoli pasukan kelab di LFK. Semoga Futsal Pahang bangkit 2016.

Keputusan LFK 2015

Pusingan Pertama

1. Kedah 1-2 Pahang
2. Pahang 3-4 Sabah Quilmess
3. Pahang 3-5 Selangor MPSJ
4. Sabah 1-3 Pahang
5. Pahang 4-4 Melaka United
6. Felda United 6-1 Pahang
7. Pahang 2-3 T-Team
8. Selangor 1-1 Pahang
9. KL MK 2-5 Pahang
10. Pahang 2-5 Perak
11. Pahang 3-0 KL Petaling Putra

Pusingan Kedua

12. Sabah Quilmess 3-4 Pahang
13. Pahang 2-3 Kedah
14. Melaka United 1-1 Pahang
15. Pahang 0-3 Felda United
16. T-Team 7-4 Pahang
17. Pahang 3-1 Selangor
18. KL Petaling Putra 6-1 Pahang
19. Pahang 3-3 KL MK
20. Perak 5-2 Pahang
21. Selangor MPSJ 4-2 Pahang
22. Pahang 4-3 Sabah

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

3 thoughts on “[LFK]Berakhir sudah perjuangan Pahang

  1. Salam, sekadar bertanya, bagaimanakah pemilihan pemain untuk mewakili pasukan futsal Pahang? Dilakukan secara tertutup atau terbuka?

Leave a Reply

Top