Anda di sini
Laman Utama > Berita > Kehadiran Saarvindran beri lebih pilihan – Zainal

Kehadiran Saarvindran beri lebih pilihan – Zainal

Hadir ke Darulmakmur dengan sedikit kontroversi bersama Gary Steven Robert pada awal musim agak mencalar imej anak muda ini sebelum bergelar pemain Pahang. Selain itu, beliau juga mengalami kecederaan  yang berpanjangan juga dari awal musim sehinggakan gagal diturunkan hampir 4 bulan setelah Liga Super memulakan aksinya. Berpindah ke Pahang dari pasukan Harimau Muda atas faktor lebih umur, D Saarvindran merupakan salah seorang pemain kegemaran Datuk Ong Kim Swee semasa di pasukan pelapis negara itu.

Setelah menanti hampir separuh musim, akhirnya Saarvindran membuat penampilan pertamanya semasa menentang Felda United di Selayang. Aksinya hanya dilihat selama 10 minit apabila menggantikan Azammuddin Akil pada separuh masa kedua menyaksikan Pahang menewaskan Felda United 1-0. Namun, itu sudah cukup memberi keyakinan pada beliau untuk melipat gandakan usaha untuk bersaing dalam kesebelasan utama.

21 vs Yadanarbon
Saarvindran meraikan gol bersama Dickson semasa perlawanan Piala AFC menentang Yadanarbon baru-baru ini.

Menentang Yadanarbon FC semasa perlawanan Piala AFC peringkat kumpulan, Saarvindran dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Matias Conti sebagai penampilan pertama di Darulmakmur. Aksinya yang memikat dengan larian dari bahagian sayap memberi impak kepada barisan serangan Pahang pada malam itu. Lebih manis, beliau menjaringkan 2 gol untuk membantu Pahang mengutip mata penuh menewaskan Yadanarbon 7-4.

“Semasa menentang Yadanarbon saya mendapat home debut dan menjaringkan 2 gol pada malam itu. Saya sangat gembira kerana masih belum hilang keyakinan dan sentuhan dengan bola. Cuma saya masih perlu mencapai kecergasan untuk bermain dalam masa 90 minit perlawanan. Jika diturunkan saya akan fokus untuk mendapatkan match fitness sebelum menyertai skuad Sukan SEA di Singapura. Kali ini saya hendak membuat yang terbaik untuk mendapatkan tempat saya semula dalam kesebelasan utama semasa kejohanan tersebut”.

30 vs Yadanarbon
Ketua Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan

Ketua Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan yang ditanya mengenai D Saarvindran mengakui sangat gembira dengan kehadirannya dalam pasukan. Bagi beliau, Saarvindran bakal memberinya banyak pilihan untuk memilih kesebelasan utama yang terbaik nanti setelah jadual padat yang bakal mereka tempuhi sepanjang bulan Mei.

“Saya ada kepercayaan kepada beliau dan yang penting dia sendiri ada kepercayaan pada diri sendiri untuk bermain walaupun masih belum cergas 100%. Saya masukkannya pada separuh masa kedua semasa menentang Yadanarbon kerana ingin mendapatkan kembali momentum beliau yang mana dia masih lagi baru di Pahang dan lebih-lebih lagi kerana baru sahaja pulih dari kecederaan. Setelah beberapa perlawanan yang diturunkan termasuk perlawanan persahabatan, saya amat berpuas hati dengan komitmen dan prestasi beliau”.

Untuk rekod, Datuk Ong Kim Swee Ketua Jurulatih Skuad Sukan SEA ke Singapura masih menaruh kepercayaan kepada Saarvindran apabila menyenarainya sebagai salah seorang pelatih bagi menghadapi Sukan SEA. Pemain Pahang lain yang mungkin turut diberi kepercayaan ialah Matthew Davies, Mohd Norazam Azih dan Rizua Syafiqi.

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top