Anda di sini
Laman Utama > Liga Super > [REVIEW] Pahang menyerlah dalam ‘derby’ Pantai Timur

[REVIEW] Pahang menyerlah dalam ‘derby’ Pantai Timur

11155030_10204159867938077_4241759596474575276_o

Pertembungan Pahang dan Terengganu sentiasa di nantikan penyokong bagi dua negeri yang berjiran ini. Walaupun hujan lebat di sebelah petang perlawanan, namun penyokong kedua-dua pasukan tetap memenuhi stadium dan rekod rasmi jumlah penonton pada malam ini ialah 17,718.

Pahang seperti biasa turun dengan formasi 4-4-2 dengan Davies dan Saiful Nizam kembali menggalas tugas di bahagian kanan dan kiri pertahanan Pahang sambil ketua pasukan Pahang, Razman beraksi di pertahanan tengah bersama Stewart. Di barisan tengah, Zesh kembali bermain sebagai Defensive Midfield bersama Hafiz Kamal sementara Gopi dan Azamuddin Akil seperti biasa mengemudi barisan sayap kiri dan kanan. Bahagian serangan tidak mengalami sebarang perubahan apabila Dickson dan Conti sekali lagi ditugaskan untuk merobek jentera pertahanan pasukan Terengganu. Azhan pula kekal sebagai benteng terakhir pasukan Pahang.

Terengganu menurunkan kesemua pemain import mereka iaitu Vincent Bikana, Gustavo Lopez, Paulo Rangel dan Issey Nakajima. Sharbinee sebagai penjaga gawang manakala Zairo Anuar menjadi ketua pasukan. Hj Abdul Rahman mempertaruhkan gandingan Rangel dan Norshahrul di barisan serangan sambil Zairo, Gustavo dan Issey menjadi tonggak barisan midfield mereka. Pada perlawanan ini, Ismail Faruqi di letakkan sebagai pemain simpanan.

10463757_10204159868258085_3305659909416896850_o

Separuh masa pertama

Pahang bermula garang pada permulaan 15 minit perlawanan dengan Gopi dan Alex seringkali mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian deras dan hantaran-hantaran cantik kepada barisan serangan Pahang. Serangan pada minit 1, 3 dan 5  menunjukkan kesungguhan Pahang untuk memungut 3 mata penuh pada perlawanan ini. Pahang berjaya mendominasi bahagian tengah dan melakukan beberapa gerakan menarik sambil Terengganu membalas melalui percubaan Rangel pada minit ke 11 dan pada minit ke 18 apabila beliau dijatuhkan dalam kotak penalti namun pengadil meneruskan permainan.

Terengganu terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila di hadiahkan sepakan penalti apabila Matthew Davies menjatuhkan Issey Nakajima dalam kotak penalti pada minit ke 23. Rangel dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut. Tersentak dengan gol tersebut, Pahang memperkemaskan permainan dan berjaya menyamakan kedudukan tiga minit kemudian apabila Zesh Rehman menanduk masuk sepakan percuma Hafiz Kamal sekaligus menggembirakan penyokong tuan rumah.

Perlawanan kembali seimbang dengan Terengganu beberapa kali melakukan gerakan menarik melalui Issey Nakajima. Conti dan Dickson terlepas peluang keemasan mendahului pasukan pelawat pada minit ke 31 dan 41 selepas masing-masing gagal melakukan penyudah yang kemas di dalam kotak penalti.

Menghampiri masa rehat, Pahang akhirnya berjaya mendahului pasukan pelawat apabila Zesh Rehman sekali lagi menewaskan Sharbinee apabila menanduk cantik bola sepakan sudut Hafiz Kamal.

Separuh masa pertama, Pahang 2 – Terengganu 1.

11174651_10204159873378213_7925903154310067719_o

Separuh masa kedua

Terengganu menggandakan asakan mereka di separuh masa kedua bagi memburu gol penyamaan. Dua sepakan percuma mereka di luar kotak penalti gagal di terjemahkan Gustavo dan Issey pada minit ke 48 dan 49 manakala situasi cemas di hadapan pintu gol Pahang di minit ke 51 juga gagal membuahkan hasil.

Pahang kembali menguasai perlawanan dan pada minit ke 50, Gopi berjaya meloloskan diri di bahagian sayap kiri dan di jatuhkan dalam kotak penalti namun pengadil meneruskan perlawanan. Pahang menambah jaringan pada minit ke 57 apabila Dickson berjaya memperdayakan barisan pertahanan Terengganu dan membuat satu hantaran cantik buat Conti menolak masuk untuk gol ketiga Pahang. Berselang dua minit kemudian Conti sekali lagi menerima hantaran dalam posisi yang hampir sama dari Gopi namun kali ini beliau gagal menolak masuk. Hantaran satu-dua antara Dickson dan Conti pada minit ke 62 hampir menambah derita Terengganu namun gagal disudahkan Dickson walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol Terengganu.

Hj Abdul Rahman mengeluarkan Norshahrul dan Hafizal dan memasukkan Ismail Faruqi dan Sharin Sapien pada minit ke 64. Terengganu mendapat satu peluang di minit ke 66 apabila Gustavo membuat satu percubaan merbahaya dari luar kotak penalti tetapi sedikit tersasar. Pahang kemudian membuat pertukaran sulung perlawanan dengan membawa masuk Fauzi Roslan bagi menggantikan Azamuddin Akil.

Perlawanan kembali rancak apabila memasuki 20 minit terakhir apabila Terengganu dan Pahang saling berbalas-balas serangan. Terengganu mempunyai dua peluang menarik pada minit ke 73 dan 77 apabila percubaan Gustavo dan Zairo berjaya di selamatkan oleh Khairul Azhan. Pahang pula membalas melalui satu gerakan ‘counter attack’ yang menarik di minit ke 74 sebelum Hafiz Kamal di kesan berada dalam posisi ‘offsaid’ oleh penjaga garisan.

Pada minit ke 78, Terengganu sekali lagi di hadiahkan sepakan penalti oleh pengadil apabila Davies tertampan bola dalam kotak penalti. Rangel sekali lagi berjaya menyempurnakan sepakan tersebut untuk Terengganu merapatkan jurang kepada 3-2. Dalam usaha untuk mencuri satu mata dari tuan rumah, Terengganu membuat pertukaran ketiga mereka dengan memasukkan Manaf Mamat menggantikan Issey Nakajima untuk memperkuatkan lagi barisan serangan mereka.

Tersentak dengan gol tersebut, Pahang sedikit tertekan dan Terengganu mengambil peluang untuk mendominasi perlawanan. Terengganu mendapat dua lagi peluang iaitu pada minit ke 83 melalui Rangel dan minit 88 melalui sepakan percuma Gustavo. Pahang pula berpeluang menambah jaringan melalui satu sepakan percuma Hafiz pada minit ke 82 dan percubaan Dickson pada minit ke 84 yang menerima hantaran jauh Hafiz Kamal. Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan selepas masa tambahan 4 minit.

Keputusan Penuh : Pahang 3 – Terengganu 2

11157510_10204159879618369_5746496670354899512_o

Rumusan Perlawanan

Pahang pada perlawanan ini di lihat berjaya mengembalikan semula kelebihan mereka dalam ‘dead ball situation’ atau ‘set pieces’. Dua gol Pahang dalam perlawanan ini hadir melalui sepakan percuma dan sepakan sudut. Bahagian tengah berjaya berfungsi dengan baik manakala Gopi dan Alex ‘menjadi’ melalui ‘trademark’ larian laju mereka di bahagian sayap. Tidak dapat di sangkal, Dickson merupakan satu ‘aset’ yang amat berharga di bahagian serangan Pahang apabila beliau acapkali berjaya memperdayakan pertahanan lawan dengan kawalan bola dan hantaran yang baik untuk rakan sepasukan. Hasilnya, gol ketiga Pahang diperolehi melalui hasil usaha beliau. Conti pula di lihat berjaya meningkatkan prestasi permainan beliau sama seperti yang kita lihat pada musim lepas. Tajam di depan gol dan bijak membuka permainan dengan hantaran yang baik kepada rakan sepasukan berjaya dilakukan beliau pada malam ini. Pujian juga buat Zesh Rehman yang menanduk cantik dua gol pasukan Pahang yang menjadi ‘turning point’ dalam perlawanan ini.

Di barisan pertahanan, Pahang begitu berdisiplin bertahan dan menyerap asakan pihak lawan. Buktinya, dua gol yang di bolosi adalah melalui sepakan penalti dan bukannya secara ‘open play’. Penjaga gol, Khairul Azhan juga bermain dengan baik apabila berjaya menafikan beberapa percubaan bahaya jentera serangan Terengganu.

Di pihak Terengganu, gandingan Gustavo dan Issey  di lihat menjadi nadi dalam serangan pasukan mereka. Norshahrul pula di lihat gagal menyerlah sehingga terpaksa di bawa keluar oleh Hj Abdul Rahman. Kemasukan Ismail Faruqi di lihat merubah corak serangan pasukan Terengganu pada 20 minit terakhir perlawanan. Zairo Annuar seperti biasa amat berbahaya jika di biarkan membuat percubaan di luar kotak penalti dan hampir menghukum Pahang pada minit ke 77 perlawanan.

Akhir kata, tahniah buat pemain dan pengurusan pasukan Pahang yang berjaya melalui jadual perlawanan yang ketat sejak dari bulan April. Semangat dan komitmen yang di tunjukkan oleh semua pemain ternyata membuahkan hasil dan melonjakkan Pahang ke tangga kelima liga Super. Syabas Tok Gajah.

10688335_10204159877338312_4723621955071630160_o

 

Mezzo Fauzi
IT specialist who is using 'football' hardware, software and its operating system in bringing a clear picture of Pahang's football.

One thought on “[REVIEW] Pahang menyerlah dalam ‘derby’ Pantai Timur

Leave a Reply

Top