Anda di sini
Laman Utama > Dari Luar Stadium > No Live No Problem?

No Live No Problem?

No Live No Problem?

Baiklah, sejak Astro tidak lagi mendapat hak penyiaran siaran langsung Liga Malaysia, maka ramailah peminat bola sepak tanahair yang kecewa, meroyan serta meratap hiba sehinggakan wujudnya hashtag #WeWantArena..

Ok.

Sedangkan sebenarnya, tanpa Astro Arena, masih lagi peminat tegar Liga Malaysia dapat menyaksikan siaran langsung perlawanan Liga Super sama ada menerusi TV1, TV3 dan kadang-kadang di TV9. Kembalinya hak penyiaran Liga Malaysia ke pangkuan stesen televisyen arus perdana ini sebenarnya turut memberi impak kepada stesen-stesen tv tersebut kerana mereka terpaksa ‘menolak’ beberapa rancangan hiburan pada waktu perdana, yang kita semua sedia maklum adalah waktu yang paling afdal bagi stesen-stesen tv ini menjana pendapatan menerusi jualan slot iklan tv.

Ini tidak termasuk bagaimana kecewanya pembaca berita Buletin Utama TV3 terpaksa membaca berita selama setengah jam pada setiap kali ada perlawanan live!

Sehinggalah kemuncaknya pada perlawanan Pusingan Kedua Piala FA 2015, Pahang vs JDT baru-baru ini, kesemua stesen tv arus perdana ini tidak menyiarkan siaran langsung atas alasan tidak mendapat hak penyiaran oleh FAM!!

Maka kian rancaklah hashtag #WeWantArena dilaungkan menerusi laman media sosial seantero negara! Astro Arena dalam menjawab soal tersebut menerusi laman media sosial rasmi mereka hanya bersahaja menyatakan bahawa mereka tidak terlibat dengan hashtag tersebut sambil menayangkan siaran langsung perlawanan bola sepak Malaysia B22 lawan Pakistan, langsung dari stadium UiTM Shah Alam.

Bertenang!

Ayuh kita imbas kembali suasana Liga Malaysia sebelum wujudnya Astro.

Pada sekitar awal 80’an dan 90’an dahulu (sekadar memilih era yang paling hampir dengan waktu kelahiran kita semua), sudah pasti- satu-satunya cara untuk menonton bola sepak adalah dengan datang sendiri ke stadium! Kerana pada ketika itu, boleh dikatakan siaran langsung perlawanan Liga Malaysia ini hanya melibatkan perlawanan-perlawanan penting sahaja, yakni ketika Final Piala FA mahupun Piala Malaysia.

Kita takkan dapat menyaksikan perlawanan-perlawanan di peringkat liga secara mingguan sebagaimana sekarang. Tambah pula ketika itu, stesen tv yang mendominasi siaran langsung ini hanya terhad kepada saluran RTM sahaja, sebelum TV3 turut serta.

TV3 pada ketika itu pula merupakan satu-satunya televisyen swasta yang beroperasi secara arus perdana. Belum ada lagi rangkaian televisyen Media Prima yang boleh dikongsi hak penyiaran siaran langsung Liga Malaysia.

Maka resahlah majoriti besar penyokong Pahang yang tidak ke stadium di seluruh pelusuk negeri Tok Gajah ini, tertanya-tanya serta menantikan keputusan apakah Pahang menang atau tewas!? Jika menang, bagaimanakah agaknya gaya gol tersebut? Siapakah penjaringnya? Jika kalah pula, kenapa? Berapa bolos?

Nak tahu kesemua itu, terpaksalah menunggu rodong-rodong yang ke stadium balik ke rumah memberitahu jawapannya. Jika daripada jauh lagi sudah nampak muncung bibir yang sengaja dijuihkan, alamat kalahlah tu..begitulah pula sebaliknya. Itupun jika anda tinggal di Kuantan. Bagaimana pula dengan rodong yang duduk di Lipis?

Mereka ini pula terpaksalah menanti akhbar keesokan harinya untuk mengetahui jawapan bagi kesemua di atas. Tanyalah mana-mana kaki bola era terdahulu, muka pertama yang diselak setiap kali beli surat khabar adalah halaman sukan, sambil menjeling-jeling keputusan empat digit! Jika tidak pun, mereka akan menunggu segmen sukan pada setiap kali Berita Perdana bersiaran.

Mujurlah pada setiap kali malam Ahad (atau Isnin jika tak silap), ada rangkuman kesemua aksi perlawanan liga tajaan Dunhill yang disiarkan bagi mengubat rindu peminat terhadap aksi pasukan kesayangan mereka! Paling tidak pun, ulasan tanpa gambar yang dibawakan melalui Radio RTM- maka tercongoklah masing-masing mengikut rentak suara pengulas yang cukup saspen..”Gol…!! oh, tidak sebenarnya…maafkan saya!!”, diikuti radio tersebut bersepai di dinding!

Nah, itu sekadar gambaran ringkas tentang bagaimana peritnya peminat bola sepak tempatan sekitar 80’an-90’an dahulu. Sumber mereka untuk mengetahui apa yang terjadi pada sebelum, ketika atau selepas perlawanan sememangnya sangat-sangat terbatas. Tiada satu bentuk medium yang dapat menggambarkan suasana perlawanan tanpa siaran langsung. Pada malam perlawanan, sebagai contoh Pahang lawan Selangor, nun di desa di Mela hanya sepi membisu tanpa apa-apa sorakan. Aktiviti malam hanyalah menonton drama swasta tajaan Zaitun di TV1.

Kini, setiap pergerakan perlawanan antara Pahang dan Sarawak di Stadium Negeri, Kucing yang tidak disiarkan secara langsung dapat diulas sebutir-butir oleh rodong yang ke sana- menerusi FB atau Twitter. Apa sahaja perlakuan yang berlaku di atas padang digambarkan sebaik-baiknya oleh beberapa tweethandle penyokong Pahang, termasuklah @TokGajahdotcom, serta tweethandle stesen TV (eg: @ASTROARENA) ataupun portal sukan (eg: @Goal_MY)! Maka ligatlah jari jemari rodong ‘menyecrolltime line bagi mendapatkan keputusan terkini – berlumba-lumbalah tweethandle penyokong Pahang nak menjadi informer terpantas!

(Palehh..peringket Asia ter, tet’nde siaraen langsuang, tertunde puin jadiii..ahhh!)

Peminat yang tidak datang ke stadium, sama ada home atau away tidak lagi runsing atau ternanti-nanti akan keputusan semasa perlawanan. Jika ada siaran langsung pula, janganlah diberi alasan tiada peti tv di rumah sehingga tak mampu untuk menyaksikan. Boleh dikatakan hampir kesemua restoran di Pahang, hatta di Malaysia sekalipun akan menayang mana-mana siaran langsung menerusi tv di premis mereka. Untung nasib, big screen lagi!

Itu belum cerita lagi bab live streaming..

Sudahlah ulasan langsung diberi menerusi laman sosial, hendak melihat aksi jaringan pun mudah. Dalam masa yang cukup singkat, segala aksi perlawanan dapat ditonton menerusi Youtube. Cukup mudah.

Pendek kata, pada zaman maklumat hanya di hujung jari ini, kita tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengikut setiap perlawanan yang berlangsung- meskipun ia tidak disiarkan secara langsung. Kita punyai pelbagai medium yang dapat membawa kita ke setiap aksi perlawanan tanpa hadir ke stadium. Malah, apa yang berlaku selepas perlawanan pun masih dapat kita ikuti……yakni bab caci mencaci di antara penyokong Pahang dan penyokong ‘itu’!

Jadi, adakah bermasalah jika tiada siaran langsung?

Tepuk dada, tanyalah penyokong Sarawak 🙂

Mamat: Kas nengok siaraen langsuang Forum Perdana Ehwal Islam je ket TV1 terr…Ostat Bard bagi ceramoh loghat Temerloh…

Mamat
Ogha' nengok bolo, kas puin nengok juge...

One thought on “No Live No Problem?

Leave a Reply

Top