Anda di sini
Laman Utama > Dari Luar Stadium > Setiap jersi, ada ceritanya!

Setiap jersi, ada ceritanya!

Assalamualaikum.

 

Sebelum kas ni melalut panja’, kas nok memperkenaekan diri kas;

Nama kas Mamat, kas dari Mela, Lepih. Keknye sekara’ ni kas menjadikaen Bando Kuantaen sebagai lubuk mencari rezeki kas. Sebabnye kalo kas ke KL kas takut kas lemaeh. Maklumlah, kas ni imaen tak kentae. Sedangkaen de Kuantaen ni puin kas doh merabaen dala’ ECM, apatah lagi kalo dlm Midbeli…huhu!

Untuk penulisan artikel ni, sebenonye kas nak maintain nulis dala’ loghat Lepih. Keknye kas memikirkaen mungkin ande pembace luor hok terngange tak paha’ mende satu, kas puin amek keputusaen menulih dala’ bahase stendet. Lagi pulok, kala’ kas guna loghat dekroh, taket terkonpieh dengan web hok se lagi ter..Sekian bab pengenalan diri.

Nampak gayanya, atmosfera sokongan peminat tempatan terhadap Liga Malaysia sudah memasuki fasa yang baharu. Meskipun ia bersifat ulangan, atau mungkin juga bersifat ‘trendy’ sebagaimana yang pernah dialami pada zaman 70’an, 80’an dan awal 90’an..dan seketika pada mula Liga Super diperkenalkan, kemeriahan penyokong dengan pelbagai cara tidak dinafikan mewarnai landskap liga kita.

Bebudak ultras dengan cara ultrasnya, bebudak ‘hooligans’ dengan cara mesra mereka, begitulah jua dengan golongan pemakan kuaci saban minggu yang setia memaki hamun pemain sendiri mahupun lawan (atas dasar suntikan semangat yang tulus dari hati)!

Penyokong adalah salah satu elemen terpenting dalam sukan tercantik di dunia bak kata Legenda Brazil, Pele. Digelar sebagai pemain ke-12, keghairahan penyokong fanatik atau kipas-susah-mati sememangnya memberi impak besar di sebalik jatuh dan bangunnya sesebuah pasukan bola sepak.

Bercakap soal penyokong atau peminat, setiap orang yang mengikuti perkembangan pasukan kesayangan mereka pastinya, sama ada sikit atau banyak, memiliki secebis rasa geram terhadap apa sahaja yang objek yang terkait dengan pasukan masing-masing.

Dalam tulisan ini, kita cerita sikit bab jersi!

Sejak Pahang kembali melonjakkan diri ke kancah Liga Super dengan megahnya, peminat bola sepak tempatan yang dahulunya mencari kedamaian jiwa dengan bersengkang mata menonton liga eropah, turut kembali melonjakkan rasa cintakan kepada pasukan negeri.

Jersey HOME plus seluarLantas, trend mengumpul jersi menjadi barah kepada sebahagian peminat tegar Pahang FA (juga pasukan lainnya). Secara tiba-tibalah mereka menyelam segenap inci kedai bundle, menyelongkar gerobok lama, meluncur di laman jualan atas talian atau mana-mana group FB yang mengumpul peminat jersi-jersi tempatan untuk mencari jersi-jersi lama.

Hinggakan ada satu tahap, pakcik yang tengah menebas rumput pakai template jersi Pahang pun bebudak kolektor ni sanggup beli dengan harga yang pakcik tu sendiri pun tak faham kenapa tinggi semacam itu!

Sejak Puma kembali menjadi penaja Pahang FA, standard jersi Skuad Tok Gajah kembali gah. Satu ketika dahulu Pahang cukup megah dengan himpunan jersi tajaan Diadora pada zaman kegemilangan Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh & Alan Davidson (sekadar menyebut beberapa nama).

Tradisi kaler kuning biru yang dipamer pada jersi menjadi satu kegilaan kepada Jersey AWAY plus seluarkumpulan pengumpul tegar jersi ini. Masakan tidak, dulu masa zaman Diadora, jersi Pahang ni bukanlah dijual secara lambak sebagaimana jersi Puma sekarang ni.

Dahulu tiada pre-order. Dahulu juga jersi yang dijual agak terhad. Tak banyak kedai yang jual jersi Pahang. Dahulu mana ada al-Ikhsan sampai beratus cawangan di Malaysia. Ya ng ada hanyalah Mohamed Store, Sukan Maju, Sukan Makmur dan segala jenis kedai sukan di Kompleks Teruntum.

Dahulu juga, jersi Pahang hanya dijual di Pahang. Maka anak Pahang yang mencari rezeki di perantauan memang takkan dapatlah beli jersi Pahang. Lebih-lebih lagi di Selangor (musuh tradisi sebenar Pahang!). Kini, di al-Ikhsan Sarawak pun ada jual jersi Pahang!

Dahulu juga jersi dijual dalam keadaan tak cukup sifat. Bermakna hanya jersi asas sahaja dijual, tanpa tanda sponsor di dada dan tiada sebarang patches. Nak dapatkan patches Chilis, memang tak jumpa. Nombor pun kena cop sendiri. Berbanding dengan sekarang, bawah kanopi depan stadium pun boleh cop nama dan nombor ikut spec pemain.

Hanya insan-insan bernasib baik sahaja yang dapat ‘player issue’ jika ada kontek dengan orang dalam PBNP atau selalu ngeteh bersama Azizul Kamaluddin. Dan anda dianggap orang yang paling lejeng kalau dapat match worn jersi Pahang.

Tapi itulah betapa ‘rare’nya jersi Diadora Pahang yang sehingga kini, sesiapa sahaja yang ada barang sehelai jersi Diadora Pahang, dia ibarat memiliki kekayaan minyak yang sama dengan Arab Saudi….ibaratnya laaaa..

Dan yang sebenarnya, selepas ditaja Diadora, jersi-jersi Pahang ini sememangnya terus menjadi rare kerana selain ianya dijual dalam kuantiti yang terhad, kesuraman liga bola sepak pada satu peringkat menyebabkan peminat tempatan kembali lupa wujudnya pasukan-pasukan negeri serta mereka lupa bahawa wujudnya sebuah liga yang dinamakan Liga Malaysia. Maka beruntunglah kepada mereka yang terus menyedarinya dan mengumpul siri jersi Pahang mengikut musim sehingga kini.

Pahang 1994 (Home)
Jersi musim 1994 ditaja oleh Diadora

Tanyalah mereka yang paling terkini meminati pasukan Pahang, berapa ramai yang pernah sedar bahawa Pahang pernah ditaja Kronos dan Mikasa. Dan siapa yang pernah ingat jersi tahun 2008 Pahang yang ditaja sebuah jenama pengeluar barangan sukan daripada Denmark?

Jersi Lotto adalah tanda kebangkitan Pahang di persada bola sepak negara, sehinggalah pada semusim Stobi menaja Pahang, para peminat tempatan sudah kembali ghairah mewarnai Darulmakmur pada setiap kali perlawanan. Dan sejak itulah, golongan yang menjadi fanatik terhadap pasukan Tok Gajah ini mula menyedari bahawa setiap jersi ada ceritanya.

Meskipun hanya beberapa musim berlalu, namun jersi Lotto yang menjadi saksi kebangkitan Pahang sudah sukar dicari. Tambah pula pada musim tersebut, Lotto telah membekal jersi yang boleh dianggap lari daripada tradisi, iaitu warna kuning dan hitam hanya untuk edisi Piala Malaysia 2012!

Stobi selepasnya, cukup sukar dibeli sebab tiada kedai rasmi yang menjualnya. Peminat terpaksa membuat belian secara atas talian untuk mendapatkannya. Itu pun khabarnya ada ada 400 helai sahaja dijual. Sebabnya, Stobi sebenarnya hanyalah sebuah syarikat pengeluar barangan sukan kecil-kecilan sahaja di Australia. Tidak semegah Nike atau Adidas.

Oh, lupa..dalam konteks ni kita bercerita tentang jersi yang ori.

Kini, dengan kontrak tajaan bernilai RM1juta untuk tempoh tiga tahun, variasi jersi Puma kian membikin para kolektor tegar tak senang duduk mencari RM bagi melengkapkan koleksi! Bayangkan untuk musim lepas sahaja, Pahang mempunyai empat varian jersi; home, away, third & satu away versi Piala Malaysia, tidak termasuk edisi khas Final Piala FA dan Piala Malaysia!

Bagus! Keghairahan inilah sebenarnya yang mencorak landskap sebenar bola sepak tempatan. Mengumpul jersi Liga Malaysia adalah ibarat memelihara dan memiliki khazanah yang sangat tidak ternilai yang terkandung dalam lipatan sejarah jatuh dan bangun bola sepak negara. Setiap generasi memiliki ragam sendiri dalam menyampaikan sokongan terhadap pasukan. Namun tiada siapa yang mampu untuk bercerita mengenai apa yang terjadi di sebalik sehelai jersi. Kerana sehelai jersi bukan sahaja melambangkan minat, tetapi sehelai jersi itulah mengukir sebuah perjuangan dan kejayaan pasukan.

Pasti, setiap jersi ada ceritanya!

Mamat: Rodong kas ngumpul jersi MU..nyekabo ngumpul jersi MU ni, rare tahak mane puin, dala’ eBay bersepoh lagi juaei..cume regela mahei ya amaet! Keknye, jersi Paha’..muntohlaa aok mencari!! Sebab terla kas ngumpul tin biskut je..sape hok ande tin biskut cap Ping Pong tu PMla kas yark..!

Mamat
Ogha' nengok bolo, kas puin nengok juge...

6 thoughts on “Setiap jersi, ada ceritanya!

  1. saya ada jersi diadora ‘match worn’ final Piala Malaysia tahun 1992..no.5…rasa2nya kalau nak jual brapa harganya?

Leave a Reply

Top
%d bloggers like this: