Anda di sini
Laman Utama > Pahang FA > Matchday#2-Pahang vs Global FC [Preview]

Matchday#2-Pahang vs Global FC [Preview]

IMG-20150309-WA0018

Selepas mencatatkan kemenangan pertama pada aksi saingan pembuka tirai kejohanan Piala AFC musim 2015 ke atas Yadanarbon baru-baru ini, Pahang bertekad untuk meneruskan rentak kemenangan apabila dijadualkan bertemu Global FC pada 11 Mac 2015 di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang. Bermain di gelanggang sendiri sudah pasti memberi sedikit kelebihan buat anak buah Zainal Abidin Hassan untuk melakar kemenangan seterusnya mengukuhkan lagi cengkaman  dalam kumpulan G yang kini diterajui oleh pasukan South China FC.

IMG-20150309-WA0019

Skuad Tok Gajah yang masih segar dengan kemenangan pertama untuk saingan liga domestik ke atas Sime Darby sabtu lalu sudah pasti memiliki lonjakan semangat untuk terus memberi cabaran pada saingan kejohanan ini pula. Namun begitu, Pahang terpaksa menempuh satu fasa yang mencabar apabila berhadapan dengan situasi kecederaan pemain utamanya sekaligus bakal merencatkan perancangan taktikal Zainal  Abidin nanti. Ketika ini, terdapat beberapa pemain yang berada dalam situasi doubtful untuk diturunkan apabila Matias Conti  dan Hafiz Kamal terpaksa di keluarkan pada perlawanan menentang Sime Darby akibat mengalami kecederaan. Begitu juga Saiful Nizam dan Nwakaeme yang turut mengalami kecederaan dan bergelut untuk cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada perlawanan penting ini. Tidak dilupakan juga ketiadaan ketua pasukan, Razman Roslan yang menjalani penggantungan permainan akibat layangan kad merah pada perlawanan pertama tempoh hari sudah pasti menambah kegusaran buat kem Pahang.

Bagi skuad Global FC pula, mereka hadir sebagai pencabar dalam kumpulan ini dengan membawa reputasi yang tinggi sebagai juara United Football League (UFL) pada tahun 2014 dan 2012 serta berjaya memenangi UFL Cup pada musim 2010/11 dalam saingan domestik. Berada dalam kedudukan teratas liga setakat ini sudah pasti mendatangkan gerun buat pasukan lawan apabila mempamerkan aksi yang baik pada saingan domestik dan berjaya mencipta margin gol yang begitu besar. Buktinya, mereka berjaya menjaringkan sebanyak 112 gol sepanjang musim 2014 dan 18 gol setakat 6 perlawanan liga domestik. Selain itu juga, mereka turut memiliki beberapa pemain kebangsaan yang membawa cabaran Filipina pada saingan Piala AFF tahun lepas. Antaranya ialah Patrick Deyto (penjaga gol), Amani Aguinaldo, Daisuke Sato, Misagh Bahadoran, Curt Dizon, Dennis Villanueva dan Mark Hartmann. Pengalaman beraksi di pentas antarabangsa sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat pasukan ini untuk mencipta keputusan yang positif di Darul Makmur nanti selepas tewas 1-6 pada aksi pembukaan menentang pasukan dari Hong Kong, South China FC. Pemain yang bakal mencuri tumpuan sudah pasti terarah kepada Mark Hartmann yang bertindak sebagai penyerang yang berbekalkan reputasi sebagai penjaring terbanyak musim 2014. Begitu juga dengan kehadiran pemain import seperti Masaki Yanagawa yang pernah beraksi dalam J-league bersama Vissel Kobe dilihat mampu menampung asakan rangkaian penyerang Pahang.

Mampukah skuad Tok Gajah terus konsisten dan mencipta kemenangan kedua pada perlawanan ini tatkala berhadapan dengan situasi kecederaan/kecergasan pemain dan terpaksa mengharungi jadual perlawanan kompetitif yang padat? Sama-sama kita nantikan jawapannya Rabu ini.

Ayuh, Tok Gajahku! Kekalkanlah konsistensi mu, serlahkanlah prestasi mu demi Pahang dan Malaysia.

Kredit info: Global FC [fb page], globalfc.ph [website]

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top
%d bloggers like this: