Anda di sini
Laman Utama > Pahang FA > Igor Shkvyrin – The Uzbek Bomber

Igor Shkvyrin – The Uzbek Bomber

Oleh : Salleh Shariff

Kehadirannya di bumi Darul Makmur pada tahun 1995 selaku Pemain Terbaik Sukan Asia 1994 menghadirkan rasa gerun pihak lawan pasukan Pahang ketika itu. Nama yang cukup digeruni di rantau Asia apabila meledak gol demi gol sewaktu Kejohanan Sukan Asia di Hiroshima sekali gus membawa pasukan Uzbekistan menjadi juara acara bolasepak dalam temasya tersebut. Ibu segala pingat iaitu pingat emas dalam acara bolasepak buat pertama kalinya menjadi milik Uzbekistan yg membuat penampilan sulung selepas merdeka daripada cengkaman Soviet Union pada tahun 1991.

Pahang Juara Liga 1995
Igor (No 10) semasa meraikan Pahang menjadi Juara Liga 1995
Memiliki rembatan yang padu serta ‘vision’ untuk membuat hantaran serta umpanan kepada rakan-rakan sepasukan yang lain selain gerakan badan yang lincah menjadikan Igor Shkvyrin sentiasa dikawal ketat. Walaupun ‘game-play’ beliau dilihat tidak begitu ‘compatible’ bersama ‘game-play’ Pahang pada ketika itu namun kelibatnya dapat memberikan impak serta ‘option’ berbeza dalam jentera serangan. Seorang pemain yang tenang dan tidak gopoh menjadikan permainan beliau sukar dibaca serta menjadikan beliau seorang pemain yang mempunyai pelbagai muslihat serta tipu helah untuk mengaburi mata pertahanan pihak lawan.
Pahang 1995 Final Piala Malaysia
Bersama skuad Pahang semasa perlawanan Akhir Piala Malaysia 1995 di Stadium Shah Alam

Menjadi peledak utama pasukan Pahang pada tahun 1995 disamping prestasi konsisten rakan-rakan sepasukan yang lain seperti Gus Cerro dan Zainal Abidin Hassan, beliau berjaya membantu pasukan Tok Gajah menjadi Juara Liga Perdana 1995 dan hampir-hampir membantu Pahang menjadi Juara Piala Malaysia pada tahun itu. Jika tidak kerana angkara gol pada waktu ‘sudden-death’ David Mitchell, sudah pasti Pahang menjadi juara berganda pada tahun tersebut. Namun begitu sumbangan beliau sedikit sebanyak menjadikan pasukan Pahang sebagai pasukan yang perlu ditewaskan untuk mengungguli kancah bolasepak Malaysia.

Walaupun jodoh beliau bersama pasukan Pahang tidak lama (semusim), namun kehadiran beliau pasti akan dikenang peminat-peminat bolasepak tempatan. Kehadiran beliau di Pahang boleh dikatakan pada waktu prestasi beliau ketika itu di puncak, membantu Pahang menjadi Juara Liga yang digeruni. Nama beliau boleh dikatakan sebagai nama besar bolasepak Asia pada ketika itu telah mewarnai kemeriahan bolasepak Malaysia. Jasa beliau membantu Pahang meledak gol saban perlawanan sehingga menjadi Juara Liga Perdana 1995 menjadikan beliau sebagai ‘The Great Uzbek Bomber’ pasti tidak akan dilupakan.
mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

2 thoughts on “Igor Shkvyrin – The Uzbek Bomber

Leave a Reply

Top
%d bloggers like this: