Anda di sini
Laman Utama > Liga Super > 149 Minit, gol sulung Liga Super 2015

149 Minit, gol sulung Liga Super 2015

Matias Conti sekali lagi membuktikan sentuhannya masih ditagih dan berbisa apabila berjaya untuk kedua kalinya mencatatkan nama selaku pencetak gol sulung pasukan Pahang untuk aksi liga super musim ini. Berbeza dengan musim 2014, Pahang terpaksa menunggu sehingga perlawanan kedua untuk merobek gawang pasukan lawan seterusnya menghadirkan momentum yang positif untuk menghasilkan gol demi gol untuk perlawanan seterusnya.

Menyingkap semula aksi perlawanan kedua buat kedua-dua pasukan yang dianggap pertembungan musuh tradisi ini, Pahang terpaksa berpuas hati untuk berkongsi mata dengan pasukan Merah Kuning apabila gol sulung Selangor yang dijaringkan Andik Vermansah pada minit ke 65’ memadam kelebihan satu gol yang dicipta oleh Matias Conti.

1 PHGvsSEL

Menggunakan formasi 4-4-2, Pahang kali ini tampil sedikit berbeza berbanding aksi pertama di Johor Bahru apabila pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan memberikan kepercayaan kepada R. Surendran untuk diturunkan sebagai pilihan utama untuk menjana serangan dari bahagian sayap pasukan Pahang tatkala Azamuddin Akil masih bergelut dengan masalah kecederaan. Pahang yang berbekalkan keazaman dan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri bermula dengan baik apabila strike force yang di kemudi oleh Hafiz Kamal hampir meletakkan skuad tok gajah di hadapan apabila tandukan Dickson Nwakaeme seawal minit ke 3’ hampir menerjah gawang lawan selepas build up attack yang kemas dihasilkan melalui sebelah kiri attacking third Pahang yang menyaksikan sentuhan mudah Matias Conti kepada Gopinathan yang membuat larian kencang melepaskan diri dari kawalan Azrif Nasrulhaq sebelum membuat hantaran silang mencari Dickson Nwakaeme. Namun tandukan beliau agak tinggi melepasi pintu gol pasukan pelawat.

Tersentap dengan ancaman itu, Selangor banyak melancarkan serangan ke kubu pasukan Pahang dan hampir untuk mencipta kejutan apabila tandukan Abdul Hadi Yahaya pada minit ke 7’ sekadar menguji Khairul Azhan Khalid. Namun, ancaman yang sangat berbahaya oleh Selangor hadir pada minit ke 10’ yang menyaksikan rembatan penyerang Selangor, Guilherme berjaya dihalang oleh Damion Stewart yang ternyata melegakan hampir 30,000 penyokong setia tok gajah. Pahang sekali lagi menghadirkan ancaman pada minit ke 19’ melalui sayap kiri yang menyaksikan sekali lagi Gopinathan berjaya melepaskan diri dari kawalan, namun hantaran silangnya gagal dibaca dan disudahkan oleh Conti dan Surendran.

Bermula babak kedua perlawanan, Pahang membuat pertukaran taktikal apabila pemain muda Mohd Norazam Abdul Azih dibawa masuk menggantikan Surendran yang dilihat kurang efektif pada babak pertama permainan. Pertukaran ini juga menyaksikan buat pertama kali Azidan Sarudin diletakkan di bahagian sayap kanan manakala Norazam digandingkan dengan Hafiz di bahagian tengah untuk tempoh 27 minit sebelum ditukarkan semula pada minit ke 72’ permainan.

2 PHGvsSEL

Gol sulung Pahang hadir pada minit ke 59’ apabila Conti tenang menyudahkan hantaran Nwakaeme di dalam kotak penalti pasukan pelawat. Gol berpunca dari hantaran jauh (route one football) oleh penjaga gol Pahang sebelum ditanduk kebelakang (flick) oleh Conti yang mencari Nwakaeme yang seterusnya cuba diumpan kepada Azidan namun Azidan bijak menguis kebelakang untuk disudahkan oleh Conti. Credit harus diberikan kepada Conti yang ternyata memiliki kelebihan ketika saingan bola di udara dan bijak mencari ruang untuk melepaskan diri dari kawalan Shahrom Abd Kalam untuk mengumpan (flick) bola kebelakang. Yang menariknya, gol yang berpunca dari route one football ini secara kebetulannya tercipta pada aksi gol terakhir musim 2014 (perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu JDT) dan gol sulung atau pembukaan musim 2015 oleh Conti ini. Kedua dua jaringan (akhir dan awal musim) berpunca dari flick heading Conti.

Tersentap dengan gol lawan, Selangor lantas menggandakan asakan dan mereka akhirnya berjaya merobek gawang Pahang apabila Andik berjaya menghasilkan gol pada minit ke 65’. Gol berpunca dari gerakan tersusun oleh Nazmi Faiz dan Abdul Hadi sebelum melorongkan bola kepada Andik yang tenang mengelecek Zesh Rehman dan melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan Khairul Azhan.

Rumusan perlawanan.

Selangor turun untuk aksi kedua saingan liga ini ternyata berpuas hati apabila berjaya mencuri satu mata di gelanggang lawan. Aksi yang ditampilkan selama 90 minit permainan agak baik dengan tactical discipline yang tinggi. Aksi pertahanan tengah skuad ini amat efektif yang menyaksikan Robert Cornthwaite dan Shahrom Abd Kalam berjaya merantai kemas dua penyerang import skuad tok gajah. Moga aksi Shahrom akan kekal konsisten seterusnya menambahkan pilihan di bahagian pertahanan skuad Harimau Malaya nanti. Kemasukan Nazmi Faiz sebagai first eleven pada aksi ini sedikit sebanyak merubah serangan pasukan Red Giants dan dilihat beberapa kali membuat percubaan jarak jauh, mujurlah sepakan emas ketika aksi menentang Bahrain tidak sekali lagi diulangi pada perlawanan ini.

Buat kem Pahang, set pieces perlu diperkemas dan dimanfaatkan. Peluang untuk menambahkan jaringan gol buat Pahang perlu digunakan apabila terdapat lebih dari 11 sepakan penjuru diberikan pihak lawan. Namun hanya dua percubaan melalui sepakan penjuru ini yang boleh menghasilkan gol tambahan buat Pahang iaitu pada minit ke 44′ separuh masa pertama oleh Stewart dan minit ke 85′ oleh Zesh. Back four Pahang wajar diberikan pujian apabila menyaksikan dua tackle yang penting menidakkan gol pasukan pelawat oleh Stewart pada minit ke 10′ ke atas Guilherme dan Razman Roslan ke atas Leandro Dos Santos pada minit ke 17′ permainan. Namun, defensive third perlu lebih fokus untuk menyerap serangan lawan. Buktinya, seawal babak kedua permainan (minit ke 48′),

Selangor hampir dihadapan hasil umpanan baik oleh Andik, mujurlah Ahmad Hazwan Bakri agak gopoh untuk melakukan penyudah tatkala hanya berhadapan dengan Khairul Azhan. Kemasukan Norazam dikira sebagai keputusan yang baik untuk meraih keserasian dan keyakinan bersama skuad. Sepakan jarak jauh yang dilepaskan oleh beliau pada minit ke 62’ sewajarnya diberi pujian setidak-tidaknya beliau menunjukkan keyakinan untuk mencipta sesuatu dari luar kotak penalti.

Tugas berat bakal menanti untuk perlawanan menentang Sarawak apabila skuad Pahang kehilangan pemain tengah selepas Hafiz Kamal dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua.  Moga tempoh rehat kurang dari seminggu ini dapat dimanfaatkan oleh Zainal untuk memilih pengganti dan mempelbagaikan formasi dan taktikal yang boleh mencipta kejutan di Kuching nanti.

Moga ada sinar kemenangan untuk perlawanan seterusnya!

admin
"Football is a community based and play a role as a social glue,thus place some encouragement to us in contributing a clear storyline of Pahang's football".

Leave a Reply

Top
%d bloggers like this: