Anda di sini
Laman Utama > Liga Super > Preview Match day #2: Pahang vs Selangor

Preview Match day #2: Pahang vs Selangor

Oleh : Oesandro

“Bagaikan sang harimau yang terluka”, itulah pepatah yang tepat untuk digambarkan menjelang aksi kedua Liga Super melibatkan pasukan Pahang dan Selangor pada Sabtu 14 Februari 2015. Kedua-dua pasukan yang terpaksa menerima kekalahan pada aksi pembuka tirai liga baru-baru ini sudah pasti mengundang keazaman buat mereka untuk bangkit dan tidak terus diaibkan seterusnya mengelakkan keciciran mata pada perlawanan ini. Pahang dan Selangor yang tumpas dengan jaringan yang sama sudah pasti ingin mencipta kemenangan sulung untuk menghadirkan semula keyakinan penyokong setia pasukan masing-masing.

Meleraikan badi kekalahan

Rekod pertemuan melibatkan kedua-dua pasukan pasti menghadirkan gerun buat pasukan Pahang apabila pertemuan sebelum ini (musim 2014) di kancah liga super menyaksikan Pahang tewas kedua-dua perlawanan dengan jaringan 1-0 masing-masing di Darul Makmur dan di Stadium MBPJ, Selangor. Begitu juga untuk musim 2013, apabila rekod pertemuan berpihak kepada pasukan Merah Kuning ini dengan kemenangan 3-2 dan sekadar seri 2-2 di Kuantan. Perlawanan pada Sabtu ini yang boleh disifatkan pertembungan musuh tradisi ternyata ditunggu-tunggu oleh peminat setia Tok Gajah kerana ada misi yang perlu dilaksanakan dek kerana rekod pertemuan yang tidak memihak mereka sebelum ini. Ini dibuktikan lagi apabila pasukan Pahang kali terakhir menumpaskan Selangor di Stadium Darul Makmur adalah pada 22 Mei 2011 iaitu lebih kurang 4 tahun yang lalu.

Menyingkap semula aksi melibatkan kedua-dua pasukan ini, penulis beranggapan dan mengandaikan formasi yang akan digunakan oleh pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan mungkin tidak banyak perubahan dan dijangka meneruskan formasi 4-4-2. Tempoh rehat yang agak lama berbanding Selangor seharusnya dimanfaatkan untuk membentuk semula rentak dan tempo permainan agar misi yang tergendala ini dapat diterjemahkan dengan kemenangan. Ternyata, Zainal bijak menggunakan tempoh rehat ini dengan memperkemaskan taktikal pasukan melalui aksi perlawanan persahabatan bertemu Tampines Rovers yang menyaksikan Pahang menang tipis, 2-1. Bagi skuad Red Giants pula, aksi longlai bertemu Terengganu tidak boleh dipandang rendah dan dijadikan ukuran kerana ini baru melibatkan perlawanan pertama musim ini.

Namun, mereka masih mampu memberi ancaman dalam aksi sulung apabila melihatkan beberapa tonggak baru pasukan mampu menghadirkan bahaya kepada pasukan Pahang. Kelibat pemain import baru terutamanya di bahagian tengah, Leandro Dos Santos bijak merencanakan serangan melalui hantaran yang baik mencari target man iaitu Andik Vermansah dan Ahmad Hazwan Bakri serta mampu membuat rembatan jauh sudah pasti akan mengucar-kacirkan benteng pasukan Pahang. Kelincahan Andik sekali lagi bakal menjadi pertaruhan Red Giants agar sekali lagi mampu mencetuskan moment “déjà vu” musim lepas. Sememangnya, pemain ini harus dirantai dan dipatahkan serangannya bermula dari bahagian tengah lagi. Namun pemain perlu lebih berwaspada apabila  kelincahan pemain ini boleh mengundang fouls seterusnya memberikan kelebihan buat pasukan Selangor menerusi free kick dan set piece yang boleh mendatangkan bahaya buat kubu Pahang.

Pertembungan bahagian sayap juga menarik untuk disaksikan apabila buat pertama kali untuk saingan kompetitif ini menemukan pertembungan antara Gopinathan dan Azrif Nasrulhaq. Mampukah Gopi membuat larian pantas dan mudah untuk menewaskan Azrif yang mempunyai larian yang laju serta mampu mengimbangi asakan sayap Pahang ini? Selain bertahan, Azrif juga mampu melancarkan serangan dengan baik, ini dibuktikan melalui perlawanan menentang Terengganu apabila beliau mempunyai satu peluang keemasan untuk menjaringkan gol apabila rembatan dari sebelah kanan pintu gol hanya mampu menyinggahi palang gol Terengganu.

Buat pasukan Pahang, gandingan Conti-Nwakaeme amatlah ditagih untuk mencetak gol sulung buat pasukan dalam saingan liga ini. Barisan tengah perlu lebih kreatif di samping tidak terlalu meninggalkan ruang di barisan tengah dan pertahanan. Mungkin kelibat pemain tengah baru seperti Mohd Norazam Abdul Azih diperlukan setidak-tidaknya sebagai “game changer” seterusnya membentuk “DNA” baru corak serangan pasukan Pahang. Moga kemenangan mampu tercipta pada perlawanan ini dan menamatkan kemarau tanpa kemenangan bertemu musuh tradisi ini.

Ayuh Tok Gajahku! Berjuanglah kerana lencana/lambang di hadapan, bukan kerana nama di belakang.

 

 

 

 

 

 

 

 

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top