Anda di sini
Laman Utama > Liga Super > “Wake up call”, Bangkitlah!

“Wake up call”, Bangkitlah!

Oleh : Oesandro

Gambar : Gawang.my

Umum mengetahui keputusan perlawanan melibatkan aksi sulung pembuka tirai liga Malaysia 2015 apabila Pahang gagal mempertahankan kejuaraan piala sumbangsih 2015 di tangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin baru-baru ini. Kekecewaan JDT pada saingan musim 2014 bertemu Pahang termasuklah pada perlawanan akhir Piala Malaysia jelas menunjukkan keazaman mereka untuk bangkit membalas dendam dengan menyiapkan pasukan melalui siri aksi pra musim yang memberangsangkan serta pembelian beberapa pemain baru bagi menjana formasi dan taktikal baru pasukan. Bermula dengan formasi 4-2-3-1 pada aksi sulung ini jelas menjerat taktikal pasukan lawan apabila berjaya mengucar kacirkan pertahanan lawan dengan permainan hantaran pendek, penguasaan middle third dan kebanyakan serangan berpusat di bahagian tengah melalui gandingan Safiq Rahim dan Hariss Harun.

Buktinya, ancaman seawal minit ke 9’ oleh Junior Eldstal melalui tandukan (free header) seolah-olah melaungkan amaran awal betapa seriusnya JDT untuk menamatkan rekod buruk sebelum ini. Ancaman demi ancaman dicetuskan oleh beberapa pemain JDT melalui percubaan jarak jauh oleh Jorge Pereyra Diaz pada minit ke 14’ dan 15’ menunjukkan ruang yang begitu besar ditinggalkan di antara barisan tengah dan pertahanan.Melihat akan kelemahan ini, Diaz hampir menggegarkan gawang pada minit ke 19’ apabila percubaan curling shot jarak jauhnya diselamatkan oleh tiang gol.

Pahang yang seperti biasa turun dengan kesebelasan utama tanpa Azamuddin Akil, menggunakan formasi 4-4-2 dengan perubahan kecil di barisan pertahanan dan sayap melihatkan Razman Roslan bermula di bahagian pertahanan kanan dan kemasukan Fauzi Roslan di barisan sayap kanan jelas tertekan dengan asakan bertali arus oleh jentera serangan JDT sehinggalah pada minit yang ke 37’, benteng Pahang akhirnya runtuh hasil gol pertama oleh Marcos Antonio melalui sepakan penjuru yang diambil baik oleh Safiq Rahim. Bermula babak kedua perlawanan, Pahang banyak menggandakan asakan namun agak mudah dipatahkan oleh barisan tengah bertahan JDT yang diketuai oleh Shakir Shaari.

Asakan Pahang melalui flank juga mudah dibaca dan dipatahkan oleh Kunalan sehingga menyaksikan Gopinathan sekali sekala beralih ke sebelah sayap kanan. Gol kedua pasukan JDT hadir sekali lagi melalui sepakan penjuru dengan sekali lagi menyaksikan sepakan baik oleh Safiq Rahim pada minit ke 58’ begitu tepat menuju kepada Luciano Figueroa yang mudah menanduk masuk untuk menewaskan Khairul Azhan Khalid. Berbaki minit permainan separuh masa kedua, Pahang menggandakan asakan dengan memasukkan tiga pemain gantian namun terus buntu mencari gol. Peluang terbaik Pahang untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang gol hadir pada lewat permainan apabila sepakan lencong Hafiz Kamal berjaya ditepis keluar Farizal Marlias.

Masih boleh dibanggakan!

Meskipun tewas, pujian harus juga diberikan kepada pasukan Pahang melalui kesungguhan yang ditunjukkan terutamanya kepada barisan pertahanan. Buktinya, beberapa tackle yang penting berjaya dilakukan oleh Shahrizan Salleh dan Razman Roslan pada minit ke 16’ dan 17’ begitu berharga setidak-tidaknya pintu gol Pahang tidak dibolosi dengan begitu awal. Begitu juga pada minit yang ke 46’menyaksikkan Damion Stewart berjaya mengekang dua asakan dan percubaan berturut-turut yang boleh menghasilkan gol tambahan oleh Luciano Figueroa.

Pendedahan dua pemain baru pasukan juga adalah satu keputusan yang tepat dengan memasukkan Mohammad Abdul Aziz Ismail dan Mohd Norazam Abdul Azih bagi membentuk keserasian terutamanya pada waktu dan perlawanan yang cukup penting ini. Kesimpulannya, permulaan yang tidak memihak kepada Pahang namun bukanlah pengakhiran buat pasukan. Setidak-tidaknya kekalahan ini dapat dijadikan iktibar seterusnya membakar semangat pemain untuk terus kekal konsisten tatkala pasukan-pasukan lain sedang mengintai corak permainan Pahang yang dianggap favourite untuk meraih beberapa kejuaraan musim ini.

Ayuh Tokgajahku!

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top