Anda di sini
Laman Utama > Admin > PAHANG 2015 : Apa kata survey?

PAHANG 2015 : Apa kata survey?

Oleh : Oesandro

Menjelang sepak mula Liga Malaysia 2015 esok yang menimbulkan polemik di kalangan peminat dan pemerhati bola sepak seluruh Malaysia. Ironinya, perkembangan yang positif ini dicetuskan melalui persembahan dan pencapaian yang memberangsangkan oleh pasukan Pahang pada musim lalu apabila berjaya menggondol tiga kejuaraan dan ternyata pencapaian ini amat membanggakan bagi seluruh peminat bola sepak di negeri Pahang yang kini digelar gergasi bola sepak Pantai Timur.

Bersempena aksi pembuka tirai Liga Super ini, TGC telah mengambil inisiatif untuk menganalisis persepsi peminat-peminat setia pasukan tokgajah ini dengan mengadakan online survey bagi mengukur sejauh mana sasaran pencapaian pasukan Pahang bagi mengharungi musim 2015 yang dijangkakan lebih mencabar.

Online survey dijalankan mulai 24 Januari hingga 26 Januari 2015 menerusi medium laman sosial facebook tokgajahdotcom telah disertai oleh 342 pengikut (like). 10 soalan diutarakan bagi mengukur persepsi atau pandangan mereka terhadap sasaran pencapaian Pahang bagi musim 2015. Keputusan dan Analisa hasil maklum balas yang diberikan adalah seperti berikut.

Pahang mampu menjadi juara Liga Super untuk tahun 2015.

82% menyatakan Pahang mampu untuk menjuarai Liga Super untuk tahun 2015. Keputusan ini dianggap sangat signifikan tatkala Pahang terlalu dahagakan kejuaraan liga apabila kali terakhir dimenanginya pada tahun 2004 iaitu 11 tahun yang lalu menerusi dream team atau pasukan yang diberi jolokan nama Real Madrid Malaysia.

Adakah anda yakin bahawa pasukan Pahang akan mengekalkan tiga kejuaraan musim lalu untuk tahun 2015?

Melalui persoalan ini, 61% menyatakan keyakinan bahawa Pahang mampu mengekalkan momentum tiga kejuaraan musim lalu. Mengulas mengenai keputusan ini, ia dianggap bukanlah terlalu tinggi di kalangan peminat setia pasukan Pahang. Namun, bukanlah perkara yang terlalu mustahil untuk dilaksanakan untuk mengekalkan tiga kejuaraan berturut-turut apabila Kedah berjaya membuktikannya sebelum ini.

Mengekalkan 4 pemain import musim lalu untuk beraksi pada tahun 2015 adalah keputusan yang tepat.

Majoriti responden bersetuju dengan keputusan ini dengan peratusan sebanyak 75%. Keputusan ini masih dianggap relevan kerana persembahan yang dianggap baik sepanjang musim 2014 dan beberapa aksi yang dianggap world class di waktu yang penting berjaya dipersembahkan oleh beberapa pemain import untuk membantu Pahang menjuarai tiga kejuaraan musim lalu.

Pasukan Pahang mampu mengekalkan rekod tanpa kalah dihalaman sendiri untuk saingan Liga Super pada tahun 2015.

73% menyatakan Pahang mampu mencipta rekod bersih dihalaman sendiri untuk saingan musim ini. Keputusan ini dianggap sangat bertetapan bagi menebus rekod pada musim lalu yang menyaksikan Pahang gagal mencipta rekod tanpa kekalahan di Darul Makmur.

Pasukan Pahang mampu memberi cabaran kepada pasukan-pasukan yang bertanding di dalam pertandingan Piala AFC 2015 dan Kemasukan beberapa pemain muda (piala presiden) adalah keputusan yang bijak untuk saingan peringkat yang lebih kompetitif seperti piala AFC 2015.

Bagi saingan diperingkat benua Asia, responden bersetuju dengan sasaran pencapaian (78%) dan keputusan mengetengahkan bakat pemain muda (93%) bagi mengharungi cabaran diperingkat Asia. Hasil dapatan ini adalah amat signifikan terutamanya bagi memberi pendedahan kepada pemain muda seterusnya menyediakan barisan pelapis untuk jangka masa sederhana dan panjang. Ini ditambah dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh pengendali pasukan, Zainal Abidin yang mahukan pasukan mencipta kejutan untuk mara ke peringkat akhir seterusnya mencetus rekod yang tersendiri.

Gandingan Matias Conti dan Dickson Nwakaeme akan lebih “menyengat” untuk tahun 2015 dan Perpindahan Faizol Hussien akan menjejaskan perancangan taktikal pasukan Pahang untuk tahun 2015.

Menerusi persoalan ini, rata-rata responden beranggapan gandingan penyerang berbisa Pahang akan lebih menyengat untuk musim ini (88%) dan sebanyak 82% tidak bersetuju dengan implikasi perancangan taktikal dengan ketiadaan Faizol yang berpindah ke pasukan baru bagi saingan musim ini. Keputusan yang agak tinggi iaitu 88% mengenai gandingan ini sudah dijangka hasil dari persembahan dan persefahaman yang sangat baik ditunjukkan menerusi perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia musim lalu. Mengenai perancangan taktikal terutamanya di barisan tengah, Pahang mampu menyerap ketiadaan Faizol dengan harapan gandingan Azidan,Hafiz Kamal, Zesh serta Rizua Shafiqi mampu menjelmakan impak yang positif seterusnya mengekalkan “DNA” Pahang yang progresif dan digeruni sejak kebelakangan ini.

Aksi Pra Musim

Responden memberi maklum balas yang agak negatif mengenai siri aksi perlawanan persahabatan melibatkan pasukan Pahang sebelum ini. Keputusan tinjauan menunjukkan sebanyak 50% tidak bersetuju dengan pemilihan pasukan lawan di dalam siri perlawanan persahabatan dan sebanyak 63% tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan membabitkan pasukan Pahang sepanjang perlawanan pra musim. Rata-rata peminat Pahang mengharapkan aksi pra musim bersifat lebih kompetitif sebagai persediaan musim yang lebih mencabar ini.

 

Kesimpulannya, dapatan kajian ini menceritakan mengenai harapan yang tinggi tetapi masih realistik untuk dicapai bagi musim 2015. Sasaran dan harapan yang menggunung ini haruslah diterjemahkan oleh kesemua barisan pemain yang akan membawa cabaran musim ini. Diharap melalui dapatan kajian ini sedikit sebanyak menggambarkan persepsi peminat yang tinggi seterusnya mengangkasakan perjuangan dan semangat para pemain agar pencapaian yang positif bagi musim 2013 dan 2014 terus relevan untuk musim-musim yang mendatang.

admin
"Football is a community based and play a role as a social glue,thus place some encouragement to us in contributing a clear storyline of Pahang's football".

3 thoughts on “PAHANG 2015 : Apa kata survey?

  1. ulasan sedikit mcm tabah…tahniah..laman web yg menarik walopn sy org bru yg bru berjinak-jinak dgn arena bolasepak sejak 2013..

Leave a Reply

Top